PETALING JAYA: Atas semangat ingin memberi pengiktirafan kepada sekolah dan menghargai sumbangan guru-guru serta bidang pendidikan yang semakin penting, Utusan Malaysia menerbitkan sisipan khas Utusan Pelajar bermula hari ini.
Langkah itu juga sejajar dengan komitmen Kementerian Pendidikan membenarkan akhbar ini diedarkan ke 7,000 buah sekolah seluruh negara.
Sisipan khas Utusan Pelajar bukan sekadar wahana perkongsian maklumat menerusi pelbagai aktiviti sekolah sebagai satu rangkaian institusi pendidikan peringkat asas dan memupuk kecintaan pelajar kepada dunia pendidikan, tetapi keluaran khas ini juga mempunyai iltizam murni ingin melangkah sederap dengan intipati Falsafah Pendidikan Negara.
Utusan Pelajar juga berharap kehadirannya dalam bilik darjah dijadikan sumber rujukan dan perkongsian maklumat dan bahan sokongan proses pengajaran dan pembelajaran bagi menjana minat warga pendidik dan pelajar.
Helaian demi helaian dalam sisipan khas ini hampir semuanya memuatkan berita berkenaan aktiviti pelajar, kegiatan dalam bilik darjah, isu sekitar dalam dan luar sekolah selain aktiviti inovasi ke arah menjana minat pelajar dalam bidang sains teknologi kejuruteraan dan matematik (STEM)
Selain itu turut dimuatkan adalah artikel bahasa Arab sebagai satu pilihan kepada mereka yang berminat dalam bahasa berkenaan.
Perkara yang paling penting, kandungan sisipan khas ini juga membawa isu-isu penting dalam dunia pendidikan ke bilik darjah supaya dapat diketahui oleh semua pihak.
Utusan Pelajar juga akan menggunakan bahasa mudah mengikut standard Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) supaya mudah dijadikan panduan dan sumber rujukan kepada pelajar dan guru.
Berkongsi kegembiraan sempena penerbitan sisipan tersebut Pengarang Utusan Malaysia Aznan Bakar berharap dengan kemunculan sisipan Utusan Pelajar, ia dapat memberi pengiktirafan kepada kejayaan sekolah cemerlang dan dijadikan contoh kepada sekolah lain supaya mengikut jejak langkah yang sama.
Lebih penting kata beliau, Utusan Pelajar boleh dijadikan rakan murid dan guru sepanjang tempah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
“Isu-isu yang dikemukakan dalam setiap keluaran diharap menjadi perbincangan positif bagi dijadikan asas penyelesaian masalah manakala artikel yang dimuatkan menjadi medan perkongsian dan teladan sesama sekolah,” ujar beliau sambil berharap kehadiran sisipan khas ini dapat membantu program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca yang dimulakan sejak 1999.
Justeru, semua pihak khususnya warga pendidik mengambil sikap positif dengan kemunculan Utusan Pelajar kerana ia bukan bertujuan membicarakan secara sinis isu pendidikan tetapi menjadi rakan kepada Kementerian Pendidikan dan warga pendidik selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pembaca boleh menyokong usaha Utusan Pelajar ini dengan menghantar bahan aktiviti sekolah, persatuan ibu bapa dan guru dan memberi sumbangan dalam bentuk buah fikiran supaya keluaran khas ini bukan sekadar buletin bilik darjah tetapi sebahagian daripada pasak asas kehidupan bernegara menerusi pendidikan.
Sidang redaksi sisipan khas ini akan sentiasa menjalankan proses penambahbaikan dari segi kandungan berdasarkan isu-isu semasa pendidikan dan permintaan pembaca. – UTUSAN