PETALING JAYA: Pendakwah, Ustaz Don bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil atau disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung arahan menangguhkan sesi mengajar atau memberi apa-apa ceramah berkaitan agama Islam di negeri tersebut.
Don menerusi pengurusnya, Anna berkata, pihaknya sudah menerima surat arahan tersebut dan diminta untuk membalas surat yang dikemukakan JAIS dalam bentuk bertulis.
“Ustaz Don sudah menerima surat tersebut semalam dan bersedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil atau disiasat berhubung isu terbabit.
“Buat masa sekarang, pihak Ustaz Don diminta untuk membalas surat yang dikemukakan JAIS dalam bentuk bertulis dan itu akan dilakukan dengan kadar segera,” ujarnya.
Sebelum ini, Ustaz Don, 40 berdepan siasatan JAIS di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Tambah Anna, pihak Ustaz Don juga terbuka dan tidak akan melawan sebarang arahan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Kalau dipanggil pihak berkuasa, memang Ustaz akan sentiasa sedia memberikan kerjasama. Apa yang terkandung dalam surat yang dikemukakan adalah sulit dan peribadi,” kongsinya bagi pihak Ustaz Don.
Untuk info, Seksyen 7 merujuk kepada mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam.-UTUSAN