Umat Islam perlu sentiasa sensitif dengan penderitaan saudara di Palestin - Utusan Malaysia

Umat Islam perlu sentiasa sensitif dengan penderitaan saudara di Palestin

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kanan) berkenan menerima kunjungan hormat wakil Afghanistan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan hormat Kuasausaha Sementara Kedutaan Besar Afganistan di Malaysia, Naqibullah Ahmadi dan Pegawai Teknikal di Kedutaannya, Shaiq Ahmed.

Pertemuan ringkas itu berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail (MTSPJ), di sini, bersempena dengan Majlis Sumbangan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Naqibullah berada di Perlis bagi lawatan kerjanya dan bertukar-tukar pendapat berkenaan hal ehwal agama Islam serta kemasyarakatan di Afghanistan dan Perlis.

Menerusi pertemuan itu, beliau turut berkesempatan melihat penglibatan baginda dalam menyantuni dan mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik di negeri ini.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan semua masyarakat Muslim agar sentiasa sensitif dengan penderitaan dihadapi oleh saudara Islam di Palestin.

Titah baginda, tanda iman seseorang Muslim itu adalah cintakan saudara seagama.

“Alhamdulillah di Perlis seluruh masjid masih membacakan qunut nazilah pada setiap solat fardhu dan kita berharap agar Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada mereka,” titah baginda.

Dalam majlis sama, seramai 140 orang asnaf terpilih dari kariah MTSPJ dan Repoh menerima sumbangan wang tunai RM700 setiap seorang dan menjalani saringan kesihatan percuma oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Selain itu, terdapat juga sesi ceramah bertemakan “Bangun Jiwa Asnaf” disampaikan oleh MAIPs bertujuan bagi memberi semangat dan input buat asnaf untuk keluar dari belenggu kepompong kemiskinan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya