TVET sebagai alternatif

TVET sebagai alternatif beri peluang kepada pelajar penuhi minat

KONTINJEN negara berpeluang meneroka kepelbagaian teknologi serta amalan baik sektor TVET di peringkat antarabangsa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sahaja dianggap sebagai pilihan lain selain aliran akademik, sebaliknya ia turut dilihat sebagai peluang untuk pelajar meneruskan pembelajaran bagi memenuhi minat dan cita-cita mereka.

Rata-rata pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau pun peringkat lebih tinggi seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) melihat TVET membuka peluang kepada mereka yang mempunyai kecenderungan dalam bidang-bidang tidak ditawarkan di sekolah.

Sama ada cemerlang atau sebaliknya dalam peperiksaan di sekolah, TVET Perkara tersebut diakui Hafizun Nuaim, 18, yang merupakan lepasan SPM dalam aliran agama yang berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Menurutnya, selain bercita-cita untuk meneruskan pengajian dalam peringkat tersebut, dia melihat TVET menawarkan program yang turut diminatinya iaitu pembinaan aplikasi pintar, pengaturcaraan komputer dan alat komunikasi.

“Di sekolah atau dalam kelas belajar tetap belajar, tetapi apabila berada di rumah saya ada minat yang lain iaitu perkara berkaitan apps (aplikasi) , alat komunikasi, komputer dan sebagainya. Memang berhasrat hendak sambung belajar dalam bidang TESL, apa salahnya saya cuba dua benda (bidang)?

“Sebab itu saya sanggup datang ke Sambutan Hari TVET Negara 2024 di sini, untuk tengok apa laluan untuk minat saya yang kedua, pengajian di peringkat sijil atau diploma dan berapa lama tempoh pembelajarannya,” katanya berasal dari Dengkil, Sepang ketika ditemui pada Sambutan Hari TVET Negara 2024, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi lepasan SPM, Amuthan Chandran, 18, memberitahu, dorongan, sokongan dan pendedahan daripada ahli keluarganya menunjukkan TVET menyediakan laluan untuknya membina masa depan.

“Pada SPM lalu, saya ambil aliran perniagaan dan seni, tetapi saya minat pendawaian elektrik sebab selalu ikut ayah bekerja. Sebenarnya ayah adalah tukang buat perabot, tetapi dia ada kemahiran membuat pendawaian elektrik yang menjadi pekerjaan keduanya.

“Ayah mencadangkan saya ambil bidang tersebut, malah dia turut mengajar pengetahuan asas tentang pendawaian elektrik. Dia kata kalau saya memahiri bidang itu sama kerana pada masa depan saya boleh jadi pekerja berkemahiran atau mungkin usahawan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seramai 10,160 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kini boleh memohon untuk memasuki institusi TVET di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, TVET terbuka untuk menerima mereka dengan menguasai tahap mini­mum 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, agar masa depan terjamin.

Menurutnya, institusi TVET yang berjumlah 1,345 buah terdiri daripada sektor kerajaan dan swasta di seluruh negara menawarkan 250,000 tempat kepada pemohon.

Dalam pada itu, bagi seorang pelajar lepasan SPM dalam aliran sains komputer, Muhammad Afiq Azizi, 18, menyatakan institusi TVET membenarkannya meneruskan minat dalam bidang perkomputeran dan automotif.

“Di sekolah selain subjek-subjek akademik, saya belajar sains komputer dan dalam masa sama juga saya meminati bidang automotif. Jadi di peringkat awal saya nampak bagaimana kedua-duanya itu boleh dikaitkan iaitu kenderaan elektrik (EV).

“Kemudian, cita-cita saya adalah untuk menjadi pereka EV moden. Di situ pun saya boleh nampak prospek kerjaya melalui TVET,” katanya yang berasal dari Taman Kemuning, Banting.

Malah, bagi lepasan STPM pula, Syaif Ikhwan Shahriman, 19, berkata, walaupun mengambil aliran sains sosial di peringkat STPM dan kini sedang bekerja sebagai operator sebuah kilang komponen logam elektrik, TVET memberi peluang peningkatan kerjaya atau beralih bidang.

“Macam-macam kursus saya tengok ada pada pameran TVET, kalau mahu meneruskan dan meningkatkan kerjaya saya boleh mengambil kursus berkaitan logam dan elektrik yang banyak ditawarkan di pelbagai institusi,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN