PETALING JAYA: Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dijadikan pilihan utama bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian berteraskan kemahiran.
Ia adalah satu laluan pendidikan yang disediakan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang seiring dengan keperluan industri dan pasaran kerja masa kini.
Utusan Malaysia mendapati rata-rata lepasan TVET mudah memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian kerana keperluan industri terhadap pekerja yang mempunyai kemahiran praktikal dan teknikal adalah tinggi.
Graduan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Ungku Omar, Zarif Syahmi, 24, berkata, dia memilih kursus berkenaan kerana minat yang mendalam dan pendidikan yang berfokus kepada kemahiran praktikal lebih sesuai dengan kemampuannya.
Katanya, kemahiran dalam penyelenggaraan mesin yang dipelajari dalam program TVET membuktikan keberkesanan latihan yang relevan dan berguna untuk pekerjaan sebenar.
“Walaupun saya belajar kursus kejuruteraan mekanikal namun dengan kemahiran asas yang dipelajari dapat diaplikasikan dalam bidang kejuruteraan elektrik.
“Ini menunjukkan bahawa pendidikan TVET memberikan asas yang kukuh dan boleh digunakan dalam pelbagai bidang kejuruteraan,” katanya.
Sementara itu, Graduan Diploma Kosmetologi, Kolej Vokasional, Nurul Anissa Baharuddin, 25, berkata, pendidikan TVET membuka peluang kepada pelajar yang kurang cemerlang dari segi akademik untuk mengasah kemahiran mereka dalam bidang tertentu.
Menurutnya, pelajar juga diberi peluang untuk berlatih secara langsung di lapangan sekali gus membolehkan mereka menguasai kemahiran teknikal dengan lebih baik.
“TVET sangat membantu saya kerana ia lebih kepada latihan praktikal berbanding teori semata-mata dan ia amat sesuai bagi saya yang kurang menyerlah dalam akademik tetapi sangat berminat untuk belajar secara praktikal.
“Kini, saya bekerja di sebuah salon kecantikan terkemuka dan semua kemahiran yang saya pelajari dapat digunakan dalam pekerjaan harian. Daripada teknik rawatan wajah hingga kepada pengurusan pelanggan.
“TVET bukan sahaja memberikan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam industri, namun ia juga menyediakan laluan yang lebih pantas ke dunia pekerjaan,” katanya.
Graduan Diploma Teknologi Pengeluaran Automotif, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Muhammad Hakim Ali, 24, berkata, pengalaman pembelajaran melalui program TVET bukan sahaja meningkatkan pemahaman, tetapi juga juga mempersiapkan diri untuk beradaptasi dengan perkembangan teknologi dalam industri masa kini.
“Saya mampu mengaplikasikan prinsip asas dalam teknologi pengeluaran automotif termasuk prosedur penggunaan alat dan mesin yang berkaitan dengan pembuatan serta pemasangan komponen automotif,” katanya.
Sementara itu Pengarah, Pusat TVET Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Ts Azremi Abdullah Al-Hadi berkata, peluang dan masa depan kerjaya TVET menawarkan banyak peluang masa depan yang cerah.
Beliau berkata, pelajar yang memilih laluan TVET selepas SPM akan dilengkapi dengan kemahiran praktikal yang tinggi dan spesifik kepada industri, menjadikan mereka lebih mudah untuk memasuki pasaran kerja. Bidang
TVET merangkumi pelbagai sektor seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, hospitaliti, automotif, dan banyak lagi, yang semuanya mempunyai permintaan tinggi di pasaran.
Katanya, peluang pekerjaan dalam TVET sangat luas kerana sektor ini sering dikaitkan dengan pekerjaan yang praktikal dan teknikal.
“Banyak industri di Malaysia memerlukan pekerja yang mahir dalam bidang-bidang teknikal seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, dan pembinaan.
“Lulusan TVET sering kali lebih mudah mendapat pekerjaan kerana mereka mempunyai kemahiran praktikal yang diperlukan oleh majikan,” ujarnya.
Menurut statistik, kadar kebolehpasaran lulusan TVET adalah tinggi iaitu kebanyakan data daripada institusi awam dan swasta melebih 95 peratus yang menunjukkan bahawa graduan ini sangat diperlukan dalam pelbagai sektor.
Di Malaysia, kata beliau terdapat banyak institusi yang menawarkan program TVET yang berkualiti. Antara yang terkenal ialah Universiti Rangkaian Teknikal Malaysia (MTUN) seperti UniMAP, (UTeM), (UTHM) dan UMPSA yang menawarkan progranm peringkat diploma hingga kedoktoran yang berasaskan teknikal dan teknologi dalam pelbagai bidang. –UTUSAN