Tindakan pantas isteri selamatkan nyawa Azlee Senario - Utusan Malaysia

Tindakan pantas isteri selamatkan nyawa Azlee Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI reaksi dikongsi netizen sebaik insiden serangan jantung membabitkan pelakon dan pelawak, Azlee Jaafar bertebaran di media sosial dan arus perdana.

Yang menyedihkan, dalam ada yang meluahkan rasa simpati, muncul juga yang mempersoalkan mengapa anggota kumpulan Senario itu yang tidak memiliki insurans, sekali gus terbeban dengan kos pembedahan serta rawatan mencecah puluhan ribu.

Saya berpeluang melihat sendiri keadaan penyanyi ini ketika lawatan ke rumahnya yang digerakkan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez bersama penyanyi, Datuk Khatijah Ibrahim baru-baru ini.

Azlee atau Muhammad Azlee Jaafar, 57 ketika ditemu bual tampil meleraikan keraguan peminat mengenai perkara itu.

“Saya bukan tidak mahu daftar (insurans), malah kalau setakat laburkan minima RM250 sebulan untuk itu, tiada salahnya.

“Hakikatnya, memang saya tidak boleh daftar (insurans). Ini kerana masalah kesihatan yang saya hadapi sebelum ini. Saya buat rayuan sekali pun, tak akan lulus. Orang sekadar bercakap sahaja. Hakikatnya, hanya saya sahaja yang tahu.

“Apa pun saya bernasib baik kerana terima bantuan Yayasan Selangor. Maka, berkuranganlah sedikit kos yang saya tanggung. Selebihnya saya guna simpanan dan juga dibantu oleh keluarga,” terangnya.

Ujian yang didepani bapa dua cahaya mata ini sebenarnya menjadi pengalaman yang membuka mata. Kata Azlee, jika bukan kerana dimasukkan ke hospital, mungkin dia tidak mengetahui status sebenar kesihatannya.

“Saya jarang buat saringan kesihatan disebabkan saya tidaklah gemar pergi ke klinik atau hospital.

“Tapi, bila sudah masuk (hospital), barulah saya tahu saya juga menghidap darah tinggi, kencing manis dan masalah kolesterol.

“Sebelum ini, langsung tiada petanda yang menunjukkan saya menghidap penyakit-penyakit ini,” ujarnya.

TAKUT HOSPITAL

BUKAN sengaja untuk mengabaikan saringan kesihatan, sebaliknya rasa takut yang melampau membuatkan penyanyi ini sering mengelak berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.

“Saya memang tidak gemar ke hospital sebab saya ini penakut orangnya. Tambahan pula saya gerun melihat lampu atau pisau-pisau pembedahan.

“Hendak dijadikan ceritanya, sebenarnya saya sempat melarikan diri selepas diperiksa doktor di klinik.

“Sampaikan pihak hospital terpaksa cari dan angkut saya masuk ke dalam ambulans.

“Saya tiada pengalaman jalani pembedahan. Kerana itu saya terlalu takut masuk hospital,” selorohnya.

Azlee pada masa sama sempat berkongsi nasihat, menyarankan masyarakat agar mengawal pemakanan dan berharap apa yang dilaluinya sebelum ini diambil sebagai teladan dan pengajaran.

“Bila terkena, baru saya sedar betapa pentingnya jaga kesihatan dan pemakanan.

“Nasihat saya, kalau bo leh elakkan makanan yang memudaratkan jantung. Organ ini penting.

“Paling penting, ambillah insurans. Jangan jadi seperti saya, bila sudah terhantuk, baru terngadah,” nasihatnya.

AMALAN PEMAKANAN TIDAK SIHAT

“RASA terbakar, dada sempit dan seperti dicucuk-cucuk. Saya sudah nyawa-nyawa ikan.”

Itu gambaran Azlee ketika mengalami serangan jantung beberapa minggu lalu. Kata pelawak yang berasal dari Johor ini, serangan tersebut berlaku betul-betul sebelum dia meninggalkan kediaman untuk menyempurnakan sesi latihan bagi konsert Senario yang akan datang.

“Saya kata kenapa dengan aku ini? Ingatkan saya alami pedih ulu hati. Badan pula lencun kerana peluh jantan.

“Isteri cemas tengok keadaan saya, segera membawa saya ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Selepas diperiksa, doktor sahkan bacaan detakkan jantung saya jatuh kadar 32, terlalu rendah.

“Saya kemudian segera dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebelum terus dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN). Doktor pakar di IJN segera siapkan saya untuk pembedahan, cemasnya waktu itu hanya Tuhan yang tahu. Makin gerun jadinya saya bila dengar teriakkan doktor menyebut five minutes gone!.

“Waktu itu, yang saya teringatkan adalah wajah isteri dan anak sulung yang masih belajar. Menitis air mata saya. Mulut pula tak henti berdoa, mohon Allah tidak ambil nyawa saya ketika itu,” ceritanya.

Menurut Azlee, doktor memaklumkan serangan jantung yang dialaminya berpunca daripada gaya pemakanan yang tidak sihat, justeru menasihatkannya agar mengubah kebiasaan itu.

“Saya bertanyakan kepada doktor, apa sebab saya alami serangan jantung. Katanya kolesterol yang berpunca daripada gaya pemakanan tidak sihat. Jelasnya, masalah jantung ini sering dikaitkan dengan pemakanan dan stress.

“Merokok juga penyebab, tapi amalan itu lebih merosakkan organ paru-paru.

“Kata doktor lagi, saya bernasib baik. Kalau bukan kerana tindakan pantas isteri yang membawa saya ke klinik, mungkin saya tidak dapat diselamatkan,” kongsinya.

BANTU ARTIS SUSAH

MASALAH kesihatan yang menimpa Azlee sebenarnya menarik keprihatinan ramai pihak termasuk persatuan Karyawan yang mengambil inisiatif menziarah pelawak berkenaan baru-baru ini.

Presidennya, Freddie Fernandez ketika mengulas perkara itu memaklumkan pihaknya mengikuti perkembangan Azlee dan terpanggil untuk memberi sumbangan bagi mengurangkan beban pelawak tersebut yang terpaksa menanggung kos perubatan ratusan ringgit selepas mengalami serangan jantung

“Adalah menjadi tanggungjawab kami selaku ahli Karyawan untuk tengok keadaan artis kita dan hulur sedikit bantuan kepada mereka.

“Jadi, kami akan kutip sumbangan setiap kali kami anjurkan majlis atau program. Inisiatif ini sudah lama kami gerakkan.

“Dan seperti sebelum ini, saya bersama Khatijah akan menziarah dan cuba sedaya upaya membantu rakan-rakan artis yang dalam kesusahan.

“Apa yang menimpa Azlee sememangnya berat. Sama-sama kita doakan agar dia segera pulih dan mampu bekerja seperti sediakala,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya