Tiada SPM, boleh ikuti kursus Sijil Pengajar Institut Memandu

Tiada SPM, boleh ikuti kursus Sijil Pengajar Institut Memandu

ANTHONY Loke bersalaman bersama pengusaha pusat latihan memandu selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi pengecualian kepada pemohon yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti kursus Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) bermula 1 Julai ini bagi menjadi pengajar bertauliah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, program khas tersebut akan dijalankan selama enam bulan sehingga 31 Disember depan di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia.

Menurut beliau, inisiatif itu antara usaha untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar yang berlaku di institut memandu.

“Pengusaha institut memandu memberi maklum balas bahawa terdapat ramai pemandu berpengalaman dan berhemah berpotensi menjadi pelatih yang baik tetapi tidak mendapat peluang kerana kekurangan kelayakan SPM.

“Ia merupakan satu cabaran buat pihak pengusaha yang sering dibawa kepada perhatian saya mengenai syarat wajib lulus SPM sebelum dapat didaftarkan JPJ dalam kursus SPIM,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia Ke-4 di sini hari ini.

Berdasarkan laman web JPJ, antara syarat-syarat permohonan bagi kursus pensijilan pengajar institut memandu adalah pemohon perlu memiliki sekurang-kurangnya SPM, Sijil Am Pelajaran (SAP) atau setaraf dengannya dengan lulus tiga mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Pada masa sama, beliau menekankan bahawa para pemohon tersebut masih perlu mengikuti semua peringkat kursus dan melepasi ujian yang ditetapkan sebelum memperoleh sijil pengajar yang sah.

“Kemampuan para pemohon tidak patut diabaikan semata-mata kerana tidak mencapai kelayakan akademik di bangku sekolah.

“Bagi saya, apa yang lebih penting adalah sikap dan perangai bakal pengajar, tahap profesionalisme dan kemahiran dari segi pertuturan dan teknik pengajaran yang berkesan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, dianggarkan kira-kira 700,000 bakal pemandu mendaftarkan diri di 255 institut memandu di seluruh negara, namun jumlah tenaga pengajar dan pekerja di institut memandu hanya sekitar 15,000 orang.

Dalam pada itu, beliau meminta JPJ untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan-peraturan sedia ada termasuk syarat penggunaan kenderaan Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM) agar dibenarkan untuk tujuan mengambil dan menghantar calon.

Ia selain kegunaan sebagai pengangkutan dari rumah ke pejabat para pengajar dengan syarat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya