Tiada sekolah terkecuali peraturan DLP - Fadhlina

Tiada sekolah terkecuali peraturan DLP – Fadhlina

FADHLINA (dua dari kanan) ketika melawat reruai pameran yang disediakan di SK Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Semua sekolah perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan berhubung pengendalian Program Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, tidak ada sekolah kerajaan mahupun sekolah berasrama penuh yang terkecuali daripada peraturan itu ketika ini.

Katanya, pelaksanaan DLP mesti mematuhi dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris’ (MBMMBI) serta berusaha mencapai matlamat negara tanpa mengabaikan hak pelajar untuk belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular.

“Semua dah minta kita pertegaskan. Jadi, (sekolah) kena pakai dan rujuk garis panduan, (yang ditetapkan). Malah, tidak ada sebarang masalah timbul setakat ini.

“Justeru, mana-mana sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan garis panduan itu, kita akan turun dan bantu sekolah tersebut untuk melaksanakannya.

“Garis panduan ini terpakai untuk semua sekolah. Jadi, sekolah kerajaan, berasrama penuh juga kena rujuk dan melaksanakannya,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung komen Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim yang menyatakan bahawa sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan daripada peraturan baharu DLP itu.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri majlis peluncuran Sekolah Pengajar Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini.

Antara intipati program terbabit adalah dengan menubuhkan Pasukan Khas Reformasi Pendidikan dengan memperkenalkan Sahabat Bahasa untuk membudayakan dan menyemarakkan pelaksanaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara komprehensif.

“Inisiatif ini dilaksanakan di bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan terdiri sekolah IPG, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN