Tiada aduan lembu korban jatuh longkang - Bomba

Tiada aduan lembu korban jatuh longkang – Bomba

NOR Hisham Mohammad melapah daging korban pada Program Ibadah Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun 2024 di Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia, Cyberjaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Tiada insiden lembu korban jatuh dan terperangkap di dalam longkang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada musim Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, setakat ini, tiada aduan diterima membabitkan insiden itu yang memerlukan untuk diselamatkan anggotanya.

Beliau berkata, sebelum ini (musim Aidiladha lalu), ada aduan insiden berkenaan namun, kali ini tiada laporan diterima.

“Alhamdulillah, tahun ini tiada lembu korban jatuh dalam longkang,” katanya ketika ditemui pada Program Ibadah Korban Sentuhan Kasih P113 Sepang bersama KPKT dan Bomba 2024, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya sedar ada kes lembu korban terlepas dan melarikan diri seperti dipaparkan di media sosial namun, tiada insiden terjatuh ke dalam longkang.

Nor Hisham berkata, pihaknya bersedia memberi khidmat untuk mengalih dan mengangkat lembu yang terjatuh dalam longkang jika diperlukan.

“Buat masa ini, tiada (insiden) kali ini (tahun ini). Banyak kes (insiden lembu lari) kita nampak tapi penduduk sendiri kejar dan tangkap semula.

“Kalau jatuh dalam longkang dan tidak boleh nak angkat, sebelum ini adalah mereka minta bantuan kita. Kita akan alihkan kerana biasanya orang awam tiada kemudahan tali (hos) untuk angkat,” katanya.

Katanya, khidmat kemanusiaan disediakan pihaknya tidak hanya pada manusia sahaja tapi pada haiwan juga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN