STB tamatkan penantian 13 tahun, muncul juara bola sepak bawah 12 MSSPs - Utusan Malaysia

STB tamatkan penantian 13 tahun, muncul juara bola sepak bawah 12 MSSPs

AKSI para pemain Sekolah Tengku Budriah (STB) dan SK Kuala Perlis dalam perlawanan akhir kejohanan bola sepak bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Perlis (MSSPs) 2024 di SK Sena, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Air mata kegembiraan para pemain Sekolah Tengku Budriah (STB) selepas berjaya menamatkan penantian 13 tahun apabila muncul juara kejohanan bola sepak bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Perlis (MSSPs) 2024 di SK Sena di sini hari ini.

STB berjaya menewaskan SK Kuala Perlis dalam penentuan sepakan penalti 5-4 selepas kedua-kedua pasukan seri 2-2 dalam aksi sebenar perlawanan yang berlangsung sengit.

Dalam perlawanan tersebut, STB bangkit menyamakan kedudukan di separuh masa kedua perlawanan selepas ketinggalan 2-1 menerusi jaringan Khalis irfan Shuhaimi,12.

Kali terakhir STB muncul juara kejohanan bola sepak bawah 12 tahun MSSPs ialah pada tahun 2011.

Sebanyak 59 pasukan menyertai kejohanan tersebut yang dikelolakan oleh STB berlangsung dari 11 Jun berakhir hari ini di empat venue iaitu padang SK Oran, SK Seri Indera, SK Kubang Gajah dan SK Sena di sini.

Sementara itu, jurulatih STB, Mohd. Shahabuddin Kadir,43, berkata, para pemain mempamerkan aksi yang cukup baik sepanjang kejohanan berkenaan sehingga muncul juara.

SEKOLAH Tengku Budriah (STB) berjaya menamatkan penantian 13 tahun apabila muncul juara kejohanan bola sepak bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Perlis (MSSPs) 2024 di SK Sena, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Katanya, pasukan berkenaan menempuh sebanyak lapan perlawanan penuh mencabar termasuk aksi final dengan para pemain juga menunjukkan mentaliti yang kuat sehingga ke peringkat ini.

Ujarnya, mereka juga menjalani latihan pagi dan petang sepanjang tempoh sebulan sebagai persediaan menyertai kejohanan tersebut dan usaha berkenaan akhirnya membuahkan hasil.

“Alhamdulilah, kami begitu teruja, gembira menjuarai kejohanan ini selepas 13 tahun tidak muncul juara kejohanan bola sepak bawah 12 tahun MSSPs ini.

“Ibu bapa juga sangat komited memberikan sokongan selain pentadbir sekolah. Para pemain ini cukup berbakat besar,” katanya yang menjadi jurulatih STB sejak enam tahun lalu.

Tambahnya, sejak tahun lalu, STB juga telah menjuarai sekurang-kurang enam kejohanan terbuka sekolah-sekolah negeri ini.

Sementara itu, Guru Besar STB, Nor Zaiton Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu melancarkan urusan perjalanan kejohanan bola sepak tersebut.

“Tahniah kepada semua pasukan yang bertanding dan tahniah kepada STB yang menjuarai kejohanan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya