SMK Kuala Nerang johan cipta klip video lagu rasmi

SMK Kuala Nerang johan cipta klip video lagu rasmi

ISMAIL Othman menyampaikan replika cek kepada wakil SMK Kuala Nerang yang menjuarai Pertandingan Mencipta Video Klip Lagu Rasmi Sekolah Daerah Padang Terap di SMK Lubok Merbau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kreativiti dan kesungguhan dipamerkan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang melayakkan sekolah itu muncul juara Pertandingan Mencipta Video Klip Lagu Rasmi Sekolah Daerah Padang Terap, baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut, SMK Kuala Nerang berjaya mengenepikan cabaran 29 buah sekolah lain dalam daerah berkenaan.

Pegawai Pendidikan Daerah, Jafri Din berkata, matlamat pertandingan itu adalah untuk mewujudkan identiti lagu rasmi yang berkualiti bagi setiap sekolah yang seterusnya akan digunakan dalam perhimpunan dan majlis rasmi.

“Kejayaan pertandingan ini bukan sahaja menonjolkan bakat dan kreativiti pelajar, malah turut memperkukuh imej sekolah-sekolah di daerah Padang Terap seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

“Ini memberi impak positif dalam mewujudkan satu identiti yang kukuh bagi setiap institusi pendidikan di kawasan tersebut,” katanya.

Penyampaian hadiah serta sijil penyertaan kepada pemenang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman dalam sebuah majlis di Dewan SMK Lubok Merbau.

Naib johan disandang oleh SMK Naka yang memberi saingan sengit dalam pertandingan itu sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bakti berjaya meraih tempat ketiga.

Tambah Jafri, pengiktirafan turut diberikan kepada Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) yang telah memberikan sumbangan amat berharga dalam menjayakan pertandingan itu.

Sementara itu, Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap turut meluncurkan Pelan Strategik Organisasi (PSO) yang mengandungi sasaran indeks petunjuk prestasi (KPI) dalam majlis tersebut sebagai simbolik perancangan dan hala tuju bagi meningkatkan pencapaian murid sehingga tahun 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN