Sisipan Utusan Pelajar komitmen sokongan, iktiraf pendidikan negara

Sisipan Utusan Pelajar komitmen sokongan, iktiraf pendidikan negara

SEBAHAGIAN ibu bapa membaca paparan sisipan Utusan Pelajar ketika menunggu kepulangan anak masing-masing di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Penerbitan sisipan Utusan Pelajar mengangkat martabat dunia pendidikan negara menerusi penulisan artikel yang mampu dijadikan sebagai rujukan dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Seorang peniaga, Zukinazari Mohammed, 50, berkata, usaha itu memperlihat komitmen industri media dalam memberi soko­ngan kepada dunia pendidikan.

“Ramai yang tidak menge­tahui aktiviti dan kejayaan pe­ringkat sekolah kerana paparan berita yang terhad.

“Pelajar juga memerlukan nilai tambah dalam sisipan yang disediakan termasuk tip kejayaan dan subjek penting yang ditulis oleh guru pakar, “ kata­nya ketika ditemui sini semalam.

Utusan Malaysia menerbitkan sisipan khas Utusan Pelajar pada setiap Rabu bermula semalam atas semangat ingin memberi pengiktirafan kepada sekolah dan menghargai sumbangan guru-guru serta bidang pendidikan yang semakin penting.

Langkah itu juga sejajar de­ngan komitmen Kementerian Pendidikan membenarkan akhbar ini diedarkan ke 7,000 buah sekolah seluruh negara.

Sisipan khas Utusan Pelajar bukan sekadar wahana perkongsian maklumat menerusi pelbagai aktiviti sekolah sebagai satu rangkaian institusi pendidikan peringkat asas dan memupuk kecintaan pelajar kepada dunia pendidikan, tetapi keluaran khas ini mempunyai iltizam murni ingin me­langkah sederap dengan intipati Falsafah Pendidikan Negara.

Zukinazri berkata, kerjasama dua hala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sekolah dan petugas media sangat penting bagi membolehkan paparan kejayaan sekolah mendapat liputan terbaik untuk mengisi bahan sisipan yang disediakan.

Seorang bapa pelajar, Ismail Maarof, 44, berkata, pelancaran sisipan itu selaras dengan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan sekolah melanggan akhbar arus perdana sebagai bahan bacaan.

Katanya, nota ringkas berkait mata pelajaran utama sekolah rendah dan menengah juga perlu diberi ruang selain paparan berita aktiviti sekolah.

“Saya sudah melanggan akhbar ini untuk tatapan anak-anak yang sememangnya perlu menguasai pengetahuan am selain membaca buku teks sekolah,” katanya.

Seorang pelajar, Aminuddin Ahmad, 19, berkata, ruang khusus untuk pelajar berkarya juga perlu disediakan bagi memberi peluang menguji kemahiran menulis.

“Di sekolah ada kelab media dan fotografi namun sukar menca­ri media yang sesuai untuk me­nyumbang karya mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN