ADA sebab kenapa penyanyi berusia 36 tahun ini diabadikan sebagai penghias sampul hadapan Pancaindera kali ini.
Semangat Haziq Rosebi dalam memartabatkan lagu tradisional wajar dikongsikan buat tatapan masyarakat.
Sejak menyertai Akademi Fantasia musim keempat 18 tahun lalu, Haziq sudah menetapkan hala tuju kerjaya nyanyiannya.
Perjuangan sebagai penyambung legasi penyanyi-penyanyi lagu asli dan tradisional terus anak muda ini semarakkan.
Bapa kepada sepasang cahaya mata ini tidak menoleh ke belakang. Penghinaan dan kata-kata negatif tidak sedikit pun mematahkan semangatnya.
“Memang ada yang bertanyakan, bolehkah saya cari makan dengan memperjuangkan lagu asli dan tradisional. Itu belum lagi penghinaan, labelkan saya penyanyi yang tidak ada standard kerana bawa genre sebegini.
“Rata-rata yang berkata begitu ialah orang muda. Saya tidak salahkan mereka, sebab mereka tidak faham pasaran genre tradisional dan asli. Dan mungkin mereka lebih didedahkan dengan muzik K-Pop atau yang kebaratan.
“Mereka tidak tahu bagaimana meriahnya undangan buat persembahan yang saya terima. Malah, pada tahap, ada penganjur yang sanggup bayar saya antara hingga lima ke enam angka untuk melihat saya bawakan tiga ke empat lagu.
“Mungkin orang tidak nampak perkara itu, sampai ada yang ingat saya tidak terima undangan persembahan kerana asyik bersiaran langsung di TikTok. Tapi percayalah, saya telah pilih genre muzik yang tepat dan anggap diri saya sangat bertuah. Biarlah orang labelkan saya macam-macam, saya tak pernah malu. Malah saya bangga,” terangnya.
Kata Haziq, dalam hatinya tersemat sekelumit rasa kecewa apabila masyarakat, lebih-lebih lagi generasi muda memperlekehkan muzik asli dan tradisional.
Namun dia menganggap keadaan itu sebagai cabaran. Dengan kudrat dan kemampuan yang dikurniakan Tuhan, Haziq bertekad akan terus mempromosikan genre muzik berkenaan sampai ke akhir hayatnya.
“Tidak perlu saya menuding jari. Sudah begitulah keadaannya, anak-anak muda kita lebih menghargai genre muzik luar berbanding tradisional dan asli.
“Tugas saya adalah untuk terus martabatkan khazanah kita ini. Terus guna platform TikTok dan Youtube untuk menarik minat orang muda.
“Saya bangga, sebab usaha itu berhasil. Terbukti lagu-lagu asli dan tradisional kembali diraikan. Benarlah apa yang dikatakan, muzik ibarat roda yang berputar. Macam fesyen-fesyen lama yang kembali disemarakkan,” katanya.
TAK MENANG TANGAN
Haziq atau nama sebenarnya Hazwan Haziq Rosebi tidak kenal erti penat. Malah dia sanggup berkorban masa dan tenaga untuk kerjaya yang dicintainya.
Katanya, usia muda harus dimanfaatkan. Selagi Tuhan mengizinkan, diberikan kudrat dan kesihatan, selagi itu dia akan terus bekerja demi mencari pendapatan.
“Kadang tak menang tangan. Bayangkan, 32 persembahan saya sempurnakan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Ibaratnya memang tidak berhari rayalah saya.
“Hari raya pertama saya buat persembahan di Johor, keesokannya di Melaka pula. Kemudian di Bintulu, Sarawak, dan begitulah seterusnya, setiap hari saya bekerja.
“Pada tempoh itu juga saya diuji masalah pedih luluh hati. Tapi mahu atau tidak saya kena teruskan, buatlah apa cara sekali pun asalkan saya penuhi undangan membuat persembahan.
“Orang undang kita menyanyi sebab mereka hargai dan percaya dengan bakat yang kita ada. Masa itu dalam fikiran saya, tidak mengapalah tidak berhari raya sekali pun, asalkan saya dapat kumpul duit raya,” selorohnya.
Ujar Haziq, dalam ada yang memandang sepi penyanyi tradisional, ada juga yang mengangkat dan menghargai.
Itu juga salah satu pemangkin semangatnya untuk teruskan perjuangan yang dipacakkan lebih sedekad yang lalu.
“Saya memang cintakan muzik asli dan tradisional. Saya rasa apa yang saya perjuangankan ini berbaloi.
“Di Singapura contohnya, kalau ke sana, saya rasa diri saya ibarat Michael Jackson. Masyarakat Melayu di sana memandang tinggi penyanyi asli atau tradisional dari Malaysia.
“Mereka cukup menghargai, yang bagi duit dan hadiah kepada artis pun ada. Begitulah cara mereka beri penghargaan kalau mereka betul-betul suka dengan kita,” jelasnya.
SETIA DENGAN GENRE YANG SAMA
Tidak pernah terlintas dalam fikiran penyanyi lagu Gurindam Anak Muda ini untuk beralih kepada genre muzik komersial.
Irama tradisional dan asli sudah sebati dalam dirinya. Katanya, biarlah dia tetap dengan haluan muzik yang sama agar dapat terus menjadi penyambung legasi penyanyi terdahulu.
“Tidak ramai penyanyi yang mahu membawakan genre sebegini. Hanya penyanyi-penyanyi yang sama sahajalah yang rela seumur hidup dilabel penyanyi asli atau tradisional. Kalau bukan Datuk Yusni Hamid, mungkin Datuk Andre Goh, atau saya, Bob dan Dayang Nurfaizah.
“Saya percaya inilah jalan yang sudah ditentukan untuk saya. Rezeki saya di sini, tidak sesuai untuk saya bertukar genre.
“Dan dalam ramai yang memandang sepi penyanyi tradisional, ramai juga yang meraikan. Undangan membuat persembahan dalam majlis korporat atau pekahwinan juga meriah.
“Mungkin saya susah bersaing kalau bertukar genre muzik sebab pasaran muzik komersial besar, pilihan artis juga pelbagai.
“Jadi, biarlah saya kekalkan apa yang telah saya perjuangan sejak dulu. Meskipun genre muzik tradisional dan asli tidak sama ‘naik’ dengan genre lain, ia tetap bertahan dan mendapat permintaan,” kongsinya.
Habis –