Sejak umur 8 tahun terbiasa ‘lepak’ balai polis - Ramona Zam Zam - Utusan Malaysia

Sejak umur 8 tahun terbiasa ‘lepak’ balai polis – Ramona Zam Zam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Diberi peluang memegang watak Inspektor Elly dalam drama bersiri terbaharu terbitan Skop Productions, Polis Peronda, Ramona Zam Zam mengakui tiada yang kekok buatnya ketika menyarungkan uniform sang saka biru itu.

Malah, kehidupannya sejak kecil sudah terbiasa dikelilingi anggota polis memandangkan bapanya menggalas tugas sebagai seorang Pegawai Pendakwa di mahkamah di Ipoh, Perak.

Cuma, entah mengapa, sedikit pun tidak terbit dihatinya untuk meneruskan kerjaya bapanya itu di dalam dunia realiti kerana jiwanya penih terarah kepada bidang seni lakon.

Bagaimanapun, baginya, satu penghargaan besar dapat menjadi seorang anggota polis di dalam naskhah siaran TV3 ini kerana sekurang-kurangnya hasrat bapa untuk melihat anak ‘menyertai’ badan uniform tercapai.

“Naluri saya dari kecil tak pernah ke arah nak ikut jejak langkah ayah walaupun dia suruh saya belajar undang-undang dan simpan harapan besar lihat saya sertai badan beruniform.

“Paling tidak pun, saya dah sertai badan beruniform di sekolah dan universiti, berkawad. Bila sekarang diberi peluang bawa watak anggota polis dalam drama ini, kira okeylah juga dapat beri ayah tengok saya sarung uniform polis.

“Sekurang-kurangnya boleh juga buat dia rasa bangga,”katanya.

Berkongsi lanjut, cerita Ramona, kenangan membesar di Ipoh ketika ayahnya bertugas di sana antara yang sukar dilupakan.

Bahkan, mengambil sedikit aura daripada bapanya itu, segala tindak tanduk dan caranya bekerja masih tersemat elok dalam ingatan meskipun ketika itu Ramona masih kecil.

“Masih saya ingat, ayah saya ini memang betul anggota polis hinggakan ambil gambar bersama pun badannya ‘keras’ tegas. Saya siap kena beritahu supaya ayah senyum sikit sebab muka dia sentiasa serius.

“Boleh dikatakan dia garang juga. Oh ya, percaya atau tidak, umur 8 tahun lagi saya susah terbiasa ‘lepak’ di mahkamah dan balai polis.

“Pernah juga nampak ayah tumbuk orang. Bukan orang awam, pesalah yang tidak beri kerjasama. Bayangkan, kecil-kecil dah tengok suasana begitu, tetapi saya pun pelik tak takut pula waktu itu.

“Boleh relaks dan terus bermain dengan kawan-kawan macam biasa. Mungkin sebab saya faham itu sudah kerja ayah,”katanya.

Pada masa yang sama, akui Ramona, membesar bersama anggota-anggota polis juga menjadikan dirinya seorang yang berani sehingga kini.

“Kalau orang lainlah, asal tengok atau terjumpa anggota polis mula rasa gelabah tak tentu pasal walaupun tahu diri tak buat salah pun. Ada juga kawan-kawan saya yang begitu, takut tengok polis.

“Tapi saya relaks saja tak pernah rasa takut. Itulah, mungkin kerana sudah terbiasa dengan ayah. Bayangkan, pergi balai dan mahkamah itu perkara biasa dari kecil, itulah saya.

“Cuma untuk drama Polis Peronda saya seronok sebab peluang berlakon dengan barisan pelakon yang saya kagumi termasuk pengarah, Syafiq Yusof, C. Kumaresan dan Datuk Yusof Haslam ini beri satu pengalaman menarik dan berbeza buat saya,”katanya.

Tiada kontroversi

Dalam pada itu, ditanya mengapa Ramona tidak seperti sesetengah artis lain yang lebih terbuka mencipta pelbagai kisah kontroversi semata-mata mahu melariskan nama, pelakon berusia 35 tahun ini cuma tersenyum.

Mempunyai pandangan tersendiri mengenai hal ini, kata Ramona, dia sedar dirinya tidak seperti rakan artis lain yang kerap tampil dengan isu kontroversi.

Lalu, adakala dia dilihat bagai ada dalam tiada biarpun telah lama menghuni industri seni.

“Memang saya tak ada kontroversi dan disebabkan itu saya faham mengapa tidak diberi tumpuan sebagaimana artis-artis lain. Tetapi saya okey sahaja dengan situasi ini.

“Lebih baik saya tak ada kontroversi yang mengarut. Sekurang-kurangnya dengan apa yang terjadi di Palestin sekarang, mengelak kontroversi adalah sebahagian daripada cara saya untuk menjaga nama bain keluarga sendiri, mentua dan suami.

“Lagipun tenang juga hidup tanpa kontroversi. Lagipun saya jenis orang yang kurang tengok telefon atau media sosial jika benar-benar sedang sibuk. Kalau ada masa rehat pula, memang saya memanfaatkan untuk rehat. Lebih aman,”katanya.

Pun begitu, Ramona bersyukur kerana masih diberi perhatian oleh penerbit dan pengarah termasuk stesen tv untuk tawaran-tawaran lakonan yang bersesuaian.
Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya