ARAU: Sayap-sayap UMNO negeri perlu lebih agresif menguasai media sosial khususnya dalam meraih sokongan golongan muda selain menjadi ‘benteng’ mempertahankan fitnah di media sosial terhadap parti tersebut.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) antara lain disebabkan oleh fitnah media sosial yang kerap ditabur pihak lawan khususnya bagi menjatuhkan UMNO.
Katanya, kalau dilihat meskipun parti komponen PN di negeri ini berdepan krisis dalaman namun mereka masih mampu menang disebabkan oleh fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada UMNO menerusi media sosial sehingga berjaya menarik sokongan golongan muda.
“Barisan sayap UMNO di negeri ini perlu segera bangkit dengan mengambil langkah menguasai media sosial dalam meraih semula sokongan golongan muda kepada parti itu,” katanya pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Arau di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan disempurnakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Pada PRU15 lalu, PN berjaya mencipta kejutan apabila memenangi hampir keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis sekali gus mentadbir negeri ini.
Mengulas lanjut, Rozabil berkata, sewaktu PRU15, UMNO berdepan kekalahan teruk di negeri ini melibatkan banyak saluran.
“Disebabkan itulah, saya mohon sangat Pemuda dan Puteri UMNO dapat tarik semula anak muda selepas kita kalah teruk pada PRU15.
“Menguasai sosial media itu satu perkara amat penting dan semua ahli di setiap peringkat perlu bertindak segera, contohnya Puteri (UMNO) mungkin boleh membantu meraih semula sokongan dengan melakukan ulasan atau ‘review’ di kedai-kedai makan untuk mendekati golongan ini.
“Kita tahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas juga tak boleh duduk sekali di Perlis malah Pas pun terpecah kepada dua kumpulan begitu juga dengan Bersatu.
“Tapi kerana kekuatan fitnah sosial media maka golongan muda telah dimomokkan dengan cerita fitnah kononnya PN bersih dan stabil maka sebab itulah kita kalah,” katanya.
Dalam pada itu, Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau turut menegaskan supaya mana-mana pengkhianat yang masih berada di dalam UMNO Perlis agar dapat meninggalkan parti itu dengan segera.
Katanya, UMNO negeri tidak memerlukan mana-mana ahli atau pemimpin yang bermuka-muka dengan menikam parti sendiri daripada belakang.
“Setakat ini, kita juga berjaya melakukan pembersihan 100 peratus di tiga bahagian dan proses tersebut terus berjalan,” katanya.-UTUSAN