Saya rasa ditindih, dirasuk dan perlu berkawan dengan ular - Masayu Anastasia - Utusan Malaysia

Saya rasa ditindih, dirasuk dan perlu berkawan dengan ular – Masayu Anastasia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERING kali kita mendengar, asal genrenya filem seram pasti ada cerita mistik yang berlaku ketika sesi penggambaran. Sudah pasti, para pelakon antara yang kerap diganggu oleh perkara-perkara mistik.

Begitulah juga yang berlaku ketika penggambaran filem Paku Tanah Jawa. Berkongsi pengalaman mistik, pelakon utamanya, Masayu Anastasia beberapa kali berdepan dengan gangguan benda ghaib.

Dia pernah ditindih, dirasuk ketika melakonkan beberapa adegan dalam filem tersebut. belum lagi harus bermain dengan ular. Malah dia juga perlu berendam hampir satu jam dengan tujuh ekor ular dalam kolam ‘suci’ di sebuah rumah ibadat.

Kepada Hits, pelakon popular Indonesia ini berkongsi pengalaman mistik.

Kalau tengok beberapa adegan, memang menyeramkan. Pastinya ada pengalaman mistik yang dilalui Masayu. Boleh kongsikan?

Memang banyak sekali pengalaman mistik. Saya melakonkan watak sebagai sinden dan harus belajar nginden (menari dan menyanyi). Baru latihan sahaja, saya sudah mula sesak nafas sehingga perlu membuka kebaya merah yang dipakai.

Jika anda perhatikan betul-betul, adegan saya menginden itu bukan saya sebenarnya. Ketika itu saya dirasuk dan menari sendiri. Seolah-olah dibantu oleh makhluk halus. Saya rasa seperti memikul beban yang berat.

Sebenarnya banyak kali juga perkara mistik seperti itu terjadi. Ada satu adegan di pokok, saya perlu berbaring. Ketika itu saya terasa seperti sesak nafas dan dada dihimpit-himpit oleh sesuatu.

Bagaimana Masayu boleh meneruskan penggambaran? Tidak takut ke dengan pengalaman mistik seperti itu?

Saya seorang pelakon jadi apabila diberi tugas, saya perlu lunaskan dengan baik sehingga tamat penggambaran. Lagipun saya ini bukan seorang yang penakut. Mungkin itu juga membantu saya meneruskan penggambaran.

Tetapi ketika beberapa kejadian mistik berlaku, saya dibantu oleh petugas dan ustaz yang disediakan di lokasi penggambaran. Saya diberikan air yang telah dibaca ayat-ayat al Quran untuk menenangkan diri.

Adegan mana yang benar-benar meninggalkan impak kepada Masayu?

Ada satu babak, saya perlu berendam dengan tujuh ekor ular di dalam kolam di sebuah kuil. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1 pagi dan keadaan kolam serta sekeliling memang gelap. Seriau juga ketika itu.

Saya memang tak nampak apa-apa cuma merasakan ada pergerakan dalam kolam. Ketika itu hanya doa yang saya panjatkan. Takut tetapi atas nama profesional, saya perlu menghayati watak Handini.

Untuk Paku Tanah Jawa juga, saya perlu menaikkan berat badan sehingga 10 kilogram. Saya perlu belajar berinteraksi dengan ular, menyesuaikan diri supaya nampak selesa dan tidak kekok apabila berlakon sama.

Mendengar pengalaman mistik yang dilalui, mungkin pelakon lain enggan menerima tawaran filem seram. Masayu bagaimana?

Saya tidak ada masalah. Saya terima sahaja. Yang penting, jalan cerita, skrip dan pengarahnya. Saya ini pelakon yang sukakan cabaran. Lebih mencabar, lebih menarik hati saya sebenarnya.

Kalau watak itu mudah, saya rasa seperti tidak ada cabaran sebagai pelakon. Sebab itu bila terima skrip Paku Tanah Jawa, terkejut juga kena bermain ular. Tetapi saya sahut cabaran itu dan mengajak teman ke tempat peliharaan ular untuk lawan perasaan geli itu.

Paku Tanah Jawa mendapat sambutan yang sangat hebat di Indonesia. Filem nombor satu bagi tayangan awal Jun. Adakah Masayu mengharapkan yang sama di Malaysia?

Semestinya! Saya berharap agar filem ini juga mendapat sambutan luar biasa di sini. Paku Tanah Jawa mula ditayangkan hari ini. Kalau mahu tengok babak mana saya dirasuk, kena tonton di pawagam lah kan!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya