Saya perlu cipta 3,000 lagu mungkin baru setaraf P.Ramlee – M.Nasir - Utusan Malaysia

Saya perlu cipta 3,000 lagu mungkin baru setaraf P.Ramlee – M.Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

45 tahun adalah usia yang cukup lama untuk mematangkan seorang penyanyi. Datuk M. Nasir sudah pernah merasai jatuh bangun malah kembang kuncupnya industri muzik negara sejak dahulu.

Ramai yang menginginkan gelaran penyanyi nombor satu negara. Tapi tidak ada yang berani menyita gelaran ‘sifu’ yang diakui hanya layak diberikan kepada seorang penyanyi, komposer, penulis lirik, pelakon dan pelukis bernama M. Nasir.

“Menarik soalan ini,” katanya ketika ditanya pernahkah sepanjang berkarya dia merasai fasa putus asa dalam muzik.

Penyanyi Suatu Masa itu mengambil jeda sebelum mengakui pernah mengalami perasaan putus asa dan kecewa di pertengahan kariernya di tahun 90-an.

“Pernah rasa putus asa dalam muzik tapi enggan terlalu ambil berat. Putus asa ini dirasakan apabila kita buat sesuatu tapi ia tidak menjadi.

“Hasrat melihat dunia hiburan berjaya tidak kesampaian dan hormat orang kepada kita juga kurang.

“Ketika itu saya lihat negara seperti Korea berjuang bersama kita, tetapi sekarang mereka sudah mencapai satu tahap yang tinggi.

“Namun kita seolah ada yang menghambat. Kita banyak bakat tapi ‘tidak sampai’,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BERKARYA SAMPAI MATI

Penyanyi asal Bukit Panjang, Singapura itu tidak dapat membayangkan andai suatu hari nanti dia berjauhan daripada muzik yang sudah menjadi darah dagingnya.

Sebab itu perkataan ‘pencen’ ‘berhenti’ ‘bersara’ tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

“Saya akan terus berkarya selagi mana mampu sebab ia pekerjaan. Saya suka dengan bidang ini, kita cipta sesuatu yang tiada kemudian menjadi bentuk yang orang suka.

“Ia sebuah nikmat yang sukar orang lain dapatkan,” katanya.

Menurutnya lagi, kini zaman sudah berubah. Muzik lebih terarah kepada sesuatu yang komersial dan penyanyi perlu mempunyai pelbagai lagu hit untuk diingati.

“Saya bernasib baik kerana saya buat laguyang kebetulan hit berbanding penyanyi lain. Orang melihat pencapaian dari sudut itu.

“P Ramlee buat 200 lagu sahaja sudah boleh diingati. Saya kena buat 3000 lagu. Kerana dunia muzik berubah, sudah menjadi komersial,” tambahnya.

Sifu kemudian berharap anak muda yang berbakat pada hari ini akan turur mementingkan jiwa dalam berkarya di samping mengecar trend muzik terkini.

“Bakat secara teknikal sudah banyak sekarang ini. Orang selalu fokus banyak kepada teknikal tapi bukan kejiwaan. Itulah yang kurang dalam diri pemuzik hari ini,” katanya.

Habis –

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya