Saya masih boleh menyanyi - Dwan Olan - Utusan Malaysia

Saya masih boleh menyanyi – Dwan Olan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR-Penyanyi kumpulan rock Olan, Dwan yang mengalami serangan angin ahmar ringan dua tahun lalu, kini boleh menyanyi dan mengingati bait-bait lagu popularnya satu ketika dahulu.

Namun, Dwan atau nama sebenarnya Mohd. Redzwan Yasin,60, masih lagi mengalami masalah pertuturan dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

Menurut isterinya, Zarina Anuar, kesihatan Dwan semakin baik dan boleh memandu dalam jarak dekat untuk membeli barang di kedai.

“Oleh kerana penyakitnya (belum betul-betul sembuh) Dwan selalu marah-marah dan saya tidak akan mengganggunya.

“Sebagai isteri, saya menjaga Dwan sepenuh masa bagi memastikan kesihatannya segera pulih. Dia perlu dihidangkan makanan, maka saya tidak dapat keluar bekerja,” katanya.

Zarina berkata demikian ketika lawatan rakan-rakan artis, Aan dari kumpulan Ways dan bekas penyanyi kumpulan Qiara,Roy bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Amal Selangor, Prihatin Kampung Kubu Gajah Sungai Buloh dan 99 Kesan di rumahnya di Desa Coalfield di sini baru-baru ini.

Zarina berkata, bagi menampung pendapatan keluarga, dia melakukan kerja separuh masa di rumah berkaitan bidang perakaunan di samping berniaga kecil-kecilan di Pasar Saloma.

Mengulas mengenai keadaan kesihatan suaminya, Zarina berkata, secara keseluruhan Dwan telah pulih cuma masalah pertuturan Dwan tidak lancar adalah akibat serangan ahmar tersebut.

“Saya akan turut membawa dia bersama jika ada program jualan seperti di Pasar Saloma di Shah Alam.

“Itulah antara sumber pendapatan untuk menampung kos seharian dan persekolahan anak perempuan berusia 17 tahun,”ujarnya.

Untuk membuktikan kemampuannya, Dwan sempat mengalunkan lagu popularnya bersama Olan, Cinta Bandar Tasik Selatan untuk tetamu yang hadir ke terataknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN