‘Saya cuma tagih penjelasan AlHijrah’

‘Saya cuma tagih penjelasan AlHijrah’

DHARMA Harun Al-Rashid mahu penjelasan mengenai pembatalan perjanjian rancangan terbitannya Deko Ibadah di stesen televisyen AlHijrah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon filem era 80-an, Dharma Harun Al-Rashid, mendedahkan sudah enam bulan gagal mendapatkan penjelasan mengenai pembatalan perjanjian rancangan terbitannya di stesen televisyen AlHijrah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pelakon Adik Manja itu mendakwa syarikat penyiaran berkenaan enggan memberikan kerjasama walaupun telah menandatangani kontrak membeli hak cipta rancangan terbitannya, Deko Ibadah bernilai RM312,000.

“Saya sudah banyak kali ajak berbincang dengan pegawai atasan di syarikat itu. Ketua Penerbit di stesen televisyen berkenaan pun saya sudah jumpa namun tiada jalan penyelesaian.

“Saya mahu jumpa Ketua Pegawai Eksekutif dan sudah hubungi setia usahanya, namun tiada balasan.

“Kontrak berkenaan mereka yang tulis dan letak harga RM312,000. Kemudian mereka kata terlalu tinggi, saya setuju untuk kurangkan RM60,000. Kemudian mereka senyap.

“Saya hanya mahu penjelasan sahaja daripada pihak ste­sen, bukannya mahu membuat keadaan lebih tegang hingga akhirnya bergaduh,” dakwanya.

Susulan daripada itu, Dharma mengakui mengalami kesempitan wang sehingga dihalau keluar daripada rumah kerana gagal membayar tunggakkan sewa bernilai RM7,500.

“Saya hanya perlu RM7,500 sahaja untuk saya teruskan hidup. Saya harap pihak AlHijrah boleh pertimbangkan dan bayar hak cipta rancangan tersebut.

“Saya tidak mahu jadi begini. Ini kali pertama saya hadapi si­tuasi seperti ini.

“Tidak tahu lagi macam mana saya ingin jelaskan. Kalau ti­dak mampu bayar harga se­per­ti di kontrak, bayar separuh pun tidak mengapalah,” katanya dengan nada sebak.

Dharma bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap stesen te­levisyen berkenaan kerana eng­gan memanjangkan isu ter­sebut.

Deko Ibadah yang disiarkan di Alhijrah pada 2022 merupakan rancangan berunsur keagamaan mengenai cara mengubah suai surau dan masjid di Malaysia.

Dakwa Dharma, selepas mem­berikan hak tayangan eksklusif kepada TVAlhijrah selama setahun, penerbitnya, WWS Studios sepatutnya menjual hak cipta rancangan berkenaan kepada stesen tersebut dengan harga RM312,000.

Bagaimanapun, sehingga kini stesen televisyen tersebut berdiam diri berhubung urusan pembelian hak cipta program tersebut.

Terdahulu, Dharma tidak lagi mampu bekerja selepas pelakon berusia 68 tahun itu diserang angin ahmar pada 2019.

Sehingga kini, Dharma perlu menyara dua orang anaknya, Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, yang kini menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsa­an (Aswara). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN