Ribut kuat sekitar Sepang, 35 pokok tumbang

Ribut kuat sekitar Sepang, 35 pokok tumbang

HUJAN lebat beserta ribut di sekitar daerah Sepang, Selangor menyebabkan lebih 35 pokok tumbang sehingga ada yang menghempap kenderaan serta rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Hujan lebat beserta ribut di sekitar daerah ini petang semalam menyebabkan lebih 35 pokok tumbang sehingga ada yang menghempap kenderaan serta rumah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, insiden itu dikesan di sembilan kawasan termasuk Cyberjaya, Kota Warisan, Dengkil dan Pantai Sepang Putra.

Bagaimanapun, tiada laporan kemalangan jiwa dan kecederaan direkodkan susulan hujan lebat dan ribut itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain berkata, kejadian pokok tumbang itu dilaporkan antara pukul 6 petang hingga 7.30 malam.

Beliau berkata, kebanyakan pokok yang tumbang masing-masing di bawah seliaan MPSepang, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan persendirian.

“Antara pokok yang tumbang adalah daripada spesis Semarak Api dan Angsana. Ada juga pokok tumbang yang menimpa kereta orang awam.

“Kerja-kerja membersihkan kawasan dan mengalihkan pokok serta memangkas pokok dilakukan oleh Unit Pantas MPSepang, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kawasan paling teruk terjejas akibat kejadian ribut semalam adalah Taman Gemilang, Dengkil di mana banyak pokok dilaporkan tumbang selain atap rumah penduduk diterbangkan ribut.

Selain pokok tumbang, hujan lebat hampir sejam itu turut menyebabkan banjir kilat terutama di Lebuh Wadi Ehsan berdekatan Desa Pinggiran Putra (DPP).

Difahamkan, laluan itu kerap dinaiki air sebelum ini jika hujan lebat sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dari arah Putrajaya ke Dengkil/Cyberjaya.

Kesemua laluan tiga lorong di Lebuh Wadi Ehsan terutama berhampiran susur masuk ke DPP – Kampung Limau Manis itu terpaksa ditutup untuk semua kenderaan susulan air melimpahi jalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya