Rakyat sudah matang, tidak mudah terpengaruh manipulasi pembangkang - Utusan Malaysia

Rakyat sudah matang, tidak mudah terpengaruh manipulasi pembangkang

SHAMSUL Anuar Nasarah (kiri) dan Abdul Azim Abdullah (kanan) pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Arau di Dewan Kuliah 1, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Kampus Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah percaya rakyat khususnya pengundi di Sungai Bakap tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang memanipulasikan pelbagai isu khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada 6 Julai depan.

Katanya, pembangkang sudah pastinya akan memainkan isu berkaitan kenaikan harga barang dan sebagainya namun beliau yakin rakyat sudah matang dalam membuat keputusan untuk memilih sebuah kerajaan yang stabil dan berkeyakinan.

Dalam masa sama katanya, PRK Sungai Bakap juga bakal menjadi medan terbaik buat kerajaan Perpaduan mendapatkan sokongan rakyat apabila terdapat kesepaduan dan kesungguhan daripada gabungan jentera parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun kita tahu bahawa ada banyak isu (rakyat) termasuk isu di peringkat nasional terutama kenaikan harga barang dan sebagainya, saya yakin rakyat matang untuk membuat keputusan kerana dalam memilih kerajaan, kita tidak boleh membuat keputusan hanya melihat pada satu isu kecil sahaja.

“Sebaliknya, kita perlu melihat sesuatu isu dengan lebih besar dan luas dan untuk hal ini, sudah tentu kita berharap agar rakyat sekali lagi memberi mandat kepada kerajaan Perpaduan untuk mewujudkan kestabilan dan keyakinan pada semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Arau di Dewan Kuliah 1, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Kampus Pauh Putra di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Abdul Azim Abdullah; Ketua Puteri UMNO Bahagian, Aida Syafinaz Isa dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, Rozieana Ahmad.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu bekas eksekutif logistik merangkap Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Tambah Shamsul Anuar, gabungan BN dan PH sudah melalui pelbagai pilihan raya sebelum ini termasuk di Kulai dan Kuala Kubu Bharu dan beliau percaya bahawa kelemahan serta kelebihan yang ada pada gabungan tersebut boleh diperbaiki bagi membolehkan kerajaan Perpaduan terus menjadi pilihan terbaik pengundi di Pulau Pinang.

Terdahulu ketika berucap beliau berkata, UMNO Bahagian Arau diyakini dapat bangkit untuk pulih semula selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi strategi dan pendekatan baru yang mampu mengembalikan semula Perlis ke pangkuan UMNO dan BN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya