PPZ-MAIWP pertimbang bantu tunggakan sewa Dharma - Utusan Malaysia

PPZ-MAIWP pertimbang bantu tunggakan sewa Dharma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, terharu sebaik sahaja menerima bantuan daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di kediamannya, semalam.

Pelakon Adik Manja itu dilihat mengalirkan air mata sebaik sahaja dimaklumkan pihak MAIWP bakal memberikan bantuan kewangan bagi masalah tunggakkan sewa rumah selain menerima kelengkapan barangan dapur.

“Saya tidak tahu macam mana hendak kata (luahkan). Akhirnya Allah akan bantu. Saya tidak pernah rasa begini, saya tidak tahu mana mahu pergi atau dengan siapa hendak bertanya.

“Tapi mereka datang berjumpa dengan saya. Saya sangat terharu,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di rumah sewanya yang terletak di Wangsa Maju, semalam.

Menurut penyelaras skuad jejak PPZ-MAIWP, Muhammad Ishaq Zulkifli, pihaknya terpanggil melakukan ziarah dan menghulurkan bantuan selepas mengetahui masalah yang dihadapi oleh Dharma menerusi laporan media.

Pihaknya akan berbincang lebih lanjut dengan pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah tunggakan sewa rumah bernilai RM7,500 secepat mungkin.

“Kami akan cuba lihat dan bawa perkara ini kepada pihak pengurusan. Kami akan berbincang untuk bantu secepat mungkin. Selain itu kami akan terus memberikan bantuan lain iaitu skim bantuan zakat bernilai RM500 serta penebusan e-wallet RM300 untuk kegunaan pembelian barangan dapur setiap bulan.

“Kami sentiasa cakna dan peka dengan situasi yang dihadapi oleh umat Islam. Sesiapa yang diuji dengan kesusahan, kami akan sampai.

“Bantuan ini mungkin tidak dapat menyembuhkan orang yang sakit atau menyediakan juadah mengenyangkan perut. Tapi setidaknya akan memberi kelegaan agar mereka tahu masih ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka,” katanya.

Terdahulu, Dharma mendakwa, syarikat penyiaran TVAlhijrah enggan memberikan kerjasama walaupun telah menandatangani kontrak membeli hak cipta rancangan terbitannya, Deko Ibadah bernilai RM312,000.

Susulan daripada itu, Dharma mengakui mengalami kesempitan wang sehingga dihalau keluar daripada rumah hujung bulan ini kerana gagal membayar tunggakkan sewa bernilai RM7,500.

Dharma juga telah menjual sebuah kereta miliknya Disember lalu untuk menampung hidup.

Bagaimanapun, stesen TVAlhijrah menafikan pernah mengeluarkan atau menandatangani sebarang kontrak perjanjian pembelian hak cipta kandungan daripada produksi WWS Studios yang juga milik pelakon, Dharma Harun Al-Rashid.

Pihaknya hanya bertanggungjawab untuk menyiarkan program Deko Ibadah pada tahun 2022 sesuai dengan perjanjian yang telah dibuat bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai pemberi dana.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN