KUALA LUMPUR: Notis kekosongan kerusi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahlian akan dikemukakan kepada Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam minggu ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya bagaimanapun akan memaklumkan terlebih dahulu perkara berkenaan kepada wakil rakyat dalam masa terdekat.
Katanya, ia membabitkan enam kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN.
Beliau berkata, sebelum menghantar notis itu, pihaknya telah melakukan beberapa proses bagi memastikannya ia mengikut undang-undang parti dan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita akan memaklumkan kepada Speaker Parlimen dan DUN Selangor serta Kelantan mengenai dalam masa terdekat…minggu ini.
“Ia dibuat setelah kita mendapat nasihat peguam dan meneliti proses undang-undang Bersatu dan undang-undang anti lompat parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat PN di sini hari ini.
Sebelum ini, Bersatu memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.
Antaranya enam Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Selain itu Mohd. Azizi (ADUN Nenggiri) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari- UTUSAN