Pertemuan Elfira, ibu di Mekah buat warganet sebak - Utusan Malaysia

Pertemuan Elfira, ibu di Mekah buat warganet sebak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Elfira Loy, tidak dapat menahan sebak apabila usahanya untuk berjumpa ibunya, Filzah Yusoff, di Mekah akhirnya termakbul.

Dalam sebuah video yang dimuat naik di Instagram, pelakon Demi Dia itu dilihat memakai jubah berwarna merah menangis memeluk ibunya sambil menghadiahkan sekuntum bunga mawar.

Walaupun mengerjakan haji pada waktu yang sama, namun Elfira dan ibunya datang berasingan memandangkan pelakon itu diundang oleh Kementerian Media Arab Saudi manakala ibunya diterbangkan oleh Tabung Haji.

“Alhamdulillah, selepas banyak hari mencuba untuk bertemu ibu, syukur akhirnya bertemu juga. Terima kasih kepada yang membantu,” katanya di ruangan kapsyen.

Dalam hantaran yang lain, pelakon asal Kuala Lumpur itu mendedahkan sebenarnya dia dan ibu sudah lama menyimpan hasrat untuk mengerjakan haji bersama.

Sebelum ini, dia pernah mendapat peluang mengerjakan haji bersama ibu oleh pihak Tabung Haji namun hasrat itu ditangguhkan bagi memberi keutamaan menjaga anaknya, Rayyan, 5, dan Aria, 2.

“Apabila memikirkan soal anak, saya terpaksa tolak peluang dan biarkan mama yang pergi dahulu mengerjakan haji.

“Namun, ketika di hari majlis doa selamat mama, saya dapat berita gembira bahawa ada jemputan daripada Kementerian Media Arab Saudi.

“Allah bnar-benar mahu menjemput saya. Sehingga dua kali saya dijemput. Jadi saya tawakal sahaja dan pergi (menunaikan haji).

“Haji pertama buat mama dan saya,” tulisnya lagi.

Mengintai ruangan komen, rata-rata terharu dengan cerita yang dikongsikan Elfira dan merasakan segala yang dilalui artis itu sudah menjadi sebahagian daripada perancangan Allah.

“Impian semua anak untuk mengerjakan haji bersama ibunya,” tulis satu komen.

“Betul, jika kita dahulukan ibu, Allah beri rezeki yang lain,” kata seorang peminat.

“Sangat gembira untuk Elfira dan ibu, baca ini pun saya sudah ‘banjir’,” kata satu komen

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN