Perkhidmatan percuma sempenan ulang tahun ke-18 bandar raya Petaling Jaya

Perkhidmatan percuma sempena ulang tahun ke-18 bandar raya Petaling Jaya

petaling jaya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petaling Jaya meraikan Ulang Tahun Ke-18 sebagai sebuah bandaraya bertemakan “Petaling Jaya Bandar Paling Bahagia”.

Pada tanggal 20 Jun menandakan perjalanan panjang dan penuh cabaran yang telah dilalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang begitu komited dalam tadbir urus pembangunan dan menyediakan pelbagai perkhidmatan terbaik kepada warga Bandaraya Petaling Jaya.

Justeru itu, pada 20 Jun 2024 MBPJ amat berbesar hati untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan percuma seperti tempat letak kereta (on-street parking) di seluruh kawasan Petaling Jaya, penggunaan kolam renang, gelanggang dan padang.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan potongan diskaun sebanyak 50% untuk pembelian tong sampah beroda.

Selari dengan usaha MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar yang indah, bersih dan lestari, pemberian sebanyak 1,000 anak pokok antaranya limau kasturi. ciku, cempedak madu, blueberry dan mulberry. Pemberian Abate (Ubat jentik-jentik) secara percuma juga akan berlangsung pada hari esok.

Bagi memartabatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, MBPJ menawarkan 500 keahlian percuma Perpustakaan Komuniti dan perkhidmatan perpustakaan bergerak turut disediakan.

Di samping itu,  pengunjung yang turut hadir pada hari esok boleh bersama-sama mengikuti pameran dan perkhidmatan Majlis yang turut disediakan di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin pada jam 9.30 pagi hingga 11.30 malam.

Berikut adalah senarai pameran dan perkhidmatan yang disediakan:
1. Kaunter bayaran (Cukai taksiran, sewaan, kompaun, dan lain-lain bil Majlis)
2. Aduan Awam (SISPAA)
3. Semakan dan permohonan lesen
4. Semakan kompaun
5. Kemaskini pemilik harta
6. Perpustakaan bergerak
7. Pameran Pendidikan Kesihatan
8. Pameran Petaling Jaya Smart, Sustainable and Resilient 2030 (PJSSR 2030)

Para pengunjung berpeluang untuk menyertai pertandingan Fun-tastic Scavenger Treasure Hunt di sebelah pagi. Pendaftaran bermula pada pukul 9.30 pagi dan terbuka kepada tiga kategori iaitu warga kerja MBPJ, pelajar  Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pelajar sekolah menengah.

Acara sukan seperti Netball Shoot Out, Sepak Raga Ratus dan Dam Ular akan mengambil tempat pada jam 2 petang dan diikuti dengan cabutan bertuah.

Pada sebelah malam pula, warga Petaling Jaya berpeluang untuk menyerlahkan bakat nyanyian mereka dalam pertandingan Nyanyian Suara Emas.

Turut berlangsung pertandingan Peragaan Busana Tradisional pada malam esok.

Kemuncak sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Petaling akan diadakan pada malam 29 Jun dengan Majlis Perasmian Ulang Tahun Petaling Jaya 2024 dan Promosi Petaling Jaya International Folklore Festival 2025 pada pukul 8.30 malam di Dataran Boulevard, Petaling Jaya.

Acara ini akan menampilkan persembahan kebudayaan, perarakan oleh badan-badan kerajaan dan swasta, serta persembahan nyanyian oleh artis tanah air seperti Fahimi Angau, Victoria Ng, Santesh, Black Mentor dan Aisha Retno.

Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-18 Bandaraya Petaling Jaya 2024 ini dapat mengeratkan lagi hubungan di antara penduduk warga Bandaraya Petaling Jaya dengan MBPJ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN