Periksa tahap keselamatan terutama masjid-masjid lama

Periksa tahap keselamatan terutama masjid-masjid lama

SILING kapur di beranda Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor yang runtuh berikutan hujan lebat dan ribut Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta membuat pemeriksaan ke atas masjid-masjid yang lama bagi memastikan tahap keselamatan terjamin susulan insiden siling kapur runtuh di bahagian beranda Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini, Rabu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, pemeriksaan itu perlu untuk memastikan semua masjid dan surau berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan oleh para jemaah.

“Insiden runtuhan siling kapur yang berlaku semasa hujan lebat Rabu lalu perlu dijadikan asas untuk JAIS dan semua ahli jawatankuasa masjid membuat semakan dan memeriksa tahap keselamatan bangunan masing-masing.

“Ini penting bagi memastikan keselamatan para jemaah terutama di masjid-masjid yang berusia 20 tahun ke atas sentiasa diberi keutamaan,” katanya yang bergegas membuat lawatan di MAN pagi ini sekembalinya daripada membantu kempen calon Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang malam tadi. 

Hadir sama, Nazir MAN, Hamzah Md. Amin, Imam MAN, Mohammad. Radzi Mohd. Zin dan AJK (Tugas-Tugas Khas), Hafizeen Ramlan.

AB. Halim Tamuri (kiri) bersama Hamzah Md. Amin (tengah) meninjau keadaan siling kapur yang runtuh di Masjid an-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh di Selangor pagi ini.

Dalam insiden Rabu lalu, siling kapur bersaiz kira-kira 10 x 6 meter di bahagian beranda MAN jatuh berikutan hujan lebat dan ribut yang melanda sekitar kawasan Saujana Utama dan Puncak Alam.

Kejadian yang berlaku itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan kerana para jemaah baru selesai solat Asar. Masjid ini dibina pada awal tahun 2003.

Dalam perkembangan lain, Ab. Halim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor bagi mengatasi isu gelinciran tanah di bahagian tepi MAN. 

Katanya, kos tebatan pada longkang itu adalah tinggi dan ia perlukan kepada dana daripada pihak berkuasa yang terlibat.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan agensi terlibat termasuk Jabatan Parit dan Saliran bagi mencari penyelesaian terbaik dan segera. Lagi pun pihak masjid sedang dalam usaha membina masjid baharu bagi menampung pertambahan jemaah.

“Saya berharap masyarakat akan terus membantu dan menyumbang untuk merealisasikan pembinaan masjid yang baharu untuk manfaat ahli kariah dan penduduk sekitar,” tambahnya. 

Pada 22 Mac 2022, MAN melancarkan Tabung Dana Wakaf Pembinaan masjid baharu yang bernilai RM7.9 juta. Setakat ini, jumlah yang dikumpul adalah sekitar RM1.1 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya