PETALING JAYA – Pelakon yang popular nenerusi watak Kapla, Amir Ahnaf menyifatkan generasi muda zaman sekarang lebih meminati naskhah dan watak yang lebih agresif seperti bad boy berbanding genre romantik.
Jelas Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin , kehendak dan permintaan terhadap jenis karakter yang agresif seperti ‘bad boy’ semakin tinggi ketika ini malah dia tidak kisah seandainya kerap menerima tawaran menjayakan karakter tersebut.
“Sebenarnya, orang Malaysia terutama generasi muda pada fasa sekarang sukakan sesuatu yang agresif. Orang kata nak wajah ‘bad boy’. Saya rasa perkara itu normal sahaja.
“Apa yang saya lihat, kebanyakkan yang menyokong industri seni kita pada masa depan ialah generasi muda dan mereka inginkan sesuatu yang segar serta visual lebih ke hadapan.
“Jadi, jangan fokus sama ada seseorang pelakon itu layak jayakan sesuatu watak tetapi tumpukan pada apa yang penonton terutama generasi muda mahukan,” katanya.
Pelakon itu ditemui selepas sidang media sesi memperkenalkan barisan pelakon utama filem Kahar Kapla High Council di sini, semalam.
Bagaimanapun, Amir mengakui, personalitinya dalam dunia realiti jauh daripada karakter bad boy kerana dia menyifatkan dirinya adalah seorang lelaki romantik.
“Realitinya, saya bukanlah seorang ‘bad boy’ pun. Saya lebih kepada lelaki yang romantik. Saya seorang yang bercakap lemah-lembut.
“Tetapi berbezalah kalau lakonan kan. Saya akan beri sepenuh jiwa bila lakonkan watak lelaki garang atau agresif.
“Jadi, bagi saya, pada usia 30 nanti, mungkin saya akan lebih melihat kepada watak yang matang dan romantik,” katanya.
Menerusi filem Kahar Kapla High Council arahan Razaisyam Rashid, Amir bakal bergandingan dengan Aedy Ashraf dan beberapa pendatang baharu seperti Sky Iskandar, Thompson Goh serta Khenobu. -UTUSAN