BINTANG K-Pop di mata peminat bukan sekadar penyanyi atau pelakon kegemaran. Mereka, pada satu tahap dipuja dan diagungkan pecinta fanatik.
Maka tidak hairanlah apabila ada peminat yang sanggup berbuat apa sahaja demi bintang kegemaran mereka.
Belum lagi peminat yang sanggup berbelanja besar untuk hadiah istimewa yang kosnya mencecah jutaan ringgit, semata-mata untuk menggembirakan artis kesayangan mereka.
Berikut kami senaraikan empat artis K-Pop dengan pemberian paling mewah dan aneh yang pernah mereka terima.
JENNIE
Antara kerja paling ‘gila’ yang peminat lakukan untuk ahli Blackpink ini adalah mengeluarkan belanja yang banyak semata-mata untuk memaparkan wajahnya di angkasa.
Perkara itu terbukti tidak mustahil apabila wajah penyanyi itu dipaparkan pada tubuh sebuah satelit buatan China yang sedang mengelilingi bumi pada 8 Ogos 2020.
Penghargaan itu diberikan sekumpulan peminat Jennie di China yang dikenali sebagai Jenniebar sempena ulang tahun kemunculan pertamanya dalam industri muzik K-Pop.
V
V atau nama sebenarnya Kim Taehyung merupakan artis K-Pop pertama yang wajahnya terpampang pada menara tertinggi dunia, Burj Khalifa.
Penghargaan itu diberikan peminat kumpulan BTS di negara China sempena sambutan ulang tahun ke-25 penyanyi itu, empat tahun lalu.
Media tempatan melaporkan peminat membelanjakan sehingga AS$68,000 (RM320,280) bagi usaha itu.
MOMO
Ahli kumpulan Twice ini berdepan detik aneh apabila menerima hadiah tidak senonoh daripada peminat.
Momo mencuri perhatian apabila mendedahkan di media sosialnya tentang hadiah patung beruang yang memiliki alat kemaluan lelaki serta sebuah cermin berlatarkan imej punggung sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-23, lima tahun lepas.
Penyanyi berusia 27 tahun itu turut berkongsi imej hadiahhadiah tersebut di Instagramnya.
JUNGKOOK
Jungkook tentunya antara manusia paling bertuah kerana memiliki peminat yang bukan sahaja setia, malah pemurah.
Antara hadiah paling mewah yang diterima penyanyi ini adalah seutas jam tangan Rolex berharga lebih AS$20,000 (RM94,200) yang diberikan peminat misteri yang dikenali sebagai Direct Kill.
Pada masa sama, bintang berusia 26 tahun itu turut menerima koleksi kasut dan pakaian berjenama antaranya seperti Dior, Louis Vuitton apabila berjaya menamatkan pembelajaran di Global Cyber University dua tahun lepas.