Pemandu lori kelar isteri - Utusan Malaysia

Pemandu lori kelar isteri

Bunuh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Nyawa seorang operator kilang berakhir di tangan suaminya sendiri selepas maut dikelar di kediaman mereka di Pangsapuri Palma, Bandar Botanik di sini, pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, wanita berusia 28 tahun ditemukan terbaring di atas katil rumah berkenaan dengan kesan kelar di leher dan tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada ahli keluarga mengenai tindakan suspek berusia 31 tahun yang membunuh isterinya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pasangan itu mempunyai masalah rumah tangga sejak dua tahun perkahwinan mereka.

“Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati 12 luka hiris dan kelar antaranya di telinga, pipi, dagu, leher, jari dan kepalanya. Punca kematian berikutan kesan kelar di leher yang memotong kulit dan saluran pernafasan wanita tersebut,” katanya malam ini.

Jelasnya, hasil maklumat membawa kepada penahanan suspek yang juga pemandu lori pada hari sama.

“Lelaki itu kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 14 Jun depan bagi membantu siasatan. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung atau penjara tidak lebih 40 tahun, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Tambah Hoong Fong, siasatan terperinci masih dijalankan dan beberapa saksi termasuk ahli keluarga akan dipanggil bagi dirakam percakapan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, pasangan yang menetap di tingkat bawah sebuah blok pangsapuri itu mempunyai seorang cahaya mata iaitu bayi perempuan berusia enam bulan.

Sementara itu, seorang penduduk berusia 50-an yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat kawasan berkenaan dipenuhi polis pagi kelmarin.

“Saya pada awalnya menyangka mungkin hanya kes biasa sebelum mengetahui ia melibatkan kes bunuh. Namun, punca sebenar kejadian tidak diketahui dan ia kes pertama sejak saya menetap di kawasan ini lebih 10 tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya