PELBAGAI kejadian yang sampai hari ini kekal menjadi misteri berhubung kematian penyanyi tersohor, Whitney Houston yang meninggal dunia pada November 2012.
Antaranya adalah sehelai kertas yang ditinggalkan mendiang kepada sahabat baiknya yang juga penyanyi, Brandy dua hari sebelum beliau meninggal dunia.
Sehingga saat ini, tiada siapa tahu mengenai butiran pesanan yang ditulis mendiang dalam kertas tersebut melainkan Brandy.
Penyanyi lagu The Boy Is Mine itu pernah ditanyakan wartawan berkenaan intipati nota tersebut.
Atas faktor peribadi, saya memilih untuk tidak mendedahkan kepada sesiapa mengenai kandungan nota itu.
“Houston bermakna di hati saya. Mendianglah yang mempengaruhi saya menjadi penyanyi,” katanya.
Whitney menyerahkan nota tersebut ketika menerjah sesi wawancara kelolaan stesen hiburan E! membabitkan penyanyi itu, penerbit muzik, Clive Davis dan penyanyi, Monica.
Dua hari selepasnya, penyanyi lagu I Will Always Love You itu ditemukan tidak bernyawa dalam tab mandi di bilik sebuah hotel terkemuka di California pada petang 11 Februari 2012 yang juga tarikh ulang tahun kelahiran Brandy.
Laporan autopsi mengesahkan mendiang meninggal dunia akibat lemas, selain menyenaraikan penyakit hati dan penggunaan dadah jenis kokain antara faktor kematian.
Pada sebelah malam hari kejadian, penyanyi itu sepatutnya hadir ke sebuah parti yang dianjurkan teman baiknya, Clive Davis.
Sementara itu, Brandy menerusi wawancara bersama media tempatan pada tahun 2022 mengakui kesilapannya yang menuding jari dan meletakkan kematian penyanyi bertaraf legenda itu dengan kesilapan individu lain.
“Normal bagi manusia menuding jari atas satusatu kejadian. Dan saya menyalahkan ramai orang tentang apa yang berlaku kepada Whitney.
“Saya terlalu sayangkan mendiang sehingga menyalahkan orang lain kerana tidak dapat menerima beliau sudah tiada,” kongsinya.
BARANG YANG DITINGGALKAN
SELAIN nota rahsia untuk Brandy, kematian Whitney juga mencetuskan pelbagai tanda tanya apabila laporan siasatan pihak berkuasa mengenai kematiannya disebarkan media.
Laporan yang dinamakan Whitney Houston Final Coroners Report itu turut memperincikan barang-barang yang dijumpai polis dalam bilik hotel di mana mendiang ditemukan mati.
Antaranya yang dijumpai adalah sudu kecil berisi kokain selain sekeping kertas yang digulung.
Selain itu, sebanyak 12 botol ubat-ubatan pelbagai jenis termasuk Xanax dan Flexeril turut ditemukan.
Turut ditemukan adalah beg berisi dompet milik mendiang. Namun kekal meninggalkan tanda tanya adalah kehilangan lesen memandu si mati.
Polis mengesyaki lesen berkenaan diambil seseorang sebelum ketibaan polis ke lokasi kejadian.