Mungkin dulu ada campur tangan, tidak bermakna kita juga begitu

Mungkin dulu ada campur tangan mahkamah, tidak bermakna kita juga begitu – Anwar

ANWAR Ibrahim menyampaikan watikah pelantikan kepada Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria sebagai simbolik mewakili seluruh ahli AKRAB bertauliah pada Himpunan Aspirasi Madani AKRAB di PICC Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) membantu dalam menjelaskan segala dasar kerajaan dan menjadi benteng persepsi negatif rakyat.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu yang kini mempunyai keahlian seramai 22,379 orang boleh menjadi teladan kepada nilai-nilai positif tata kelola yang baik, membetulkan perspektif pegawai awam serta menjadi sumber maklumat tepat bagi menyokong hasrat Malaysia Madani.

Beliau berkata, hal ini termasuk membetulkan persepsi awam yang mendakwa kerajaan perpaduan hari ini turut membuat campur tangan di mahkamah dan pendakwaan yang mungkin diamalkan kepimpinan kerajaan terdahulu.

“Jadi AKRAB harus jelaskan dasar kerajaan, kita biasa kadang-kadang mungkin dulu ada campur tangan mahkamah, dalam pendakwaan, dia ingat kita ambil alih (kerajaan) pun begitu juga.

“Kamu dulu dengan pimpinan kamu begitu (campur tangan) tidak bermakna kita juga begitu. Tetapi saya tak boleh tolak ansur. Saudara tahu nak naik gaji penjawat awam lelah kita, bagaimana nak cari wang dan mahu pertahan keyakinan, semua difikirkan.

“Tetapi orang yang kaut keuntugan berbilion-bilion senang-senang dimaafkan, ada yang jumpa cium tangan lagi,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat pada Himpunan Aspirasi Madani AKRAB, di sini hari ini.

Lebih 10,000 menghadiri perhimpunan itu dalam kalangan penjawat awam sebagai menyokong inisiatif AKRAB yang ditubuhkan hampir dua dekad lalu dengan ahli-ahli diberi pentauliahan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Berperanan sebagai ejen penggerak perubahan kerajaan, AKRAB bertanggungjawab untuk “membentuk rakan yang membantu rakan” dalam memupuk semangat berpasukan, keharmonian dan saling menghormati.

Pada majlis itu Perdana Menteri turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Presiden Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK), Mohd Afendi bin Ya @ Zakaria sebagai simbolik mewakili seluruh ahli AKRAB bertauliah.

Dalam pada itu, Anwar berkata, budaya menormalisasikan penyalahgunaan kuasa dan salah laku tidak boleh diizinkan berlaku dan pembanterasan rasuah perlu tegas diambil tidak peduli siapa pun sama ada di peringkat atasan atau bawahan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu terlalu mudah menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak ada bukti yang jelas kerana beliau sudah melalui pengalaman hidup di penjara apabila difitnah sehingga seluruh keluarga sengsara.

“Walaupun saya kata dizalimi, tapi pengalaman itu mengajar saya jangan mudah-mudah hukum orang kalau tidak ada bukti jelas.

“Saya mulakan dengan seruan dan amran, tapi sekarang tidak ada pilihan. Baik Kastam, imigresen, pendidikan, kesihatan, ada saja (kes rasuah) kita geledah habis-habisan. Tidak ada tolak ansur kerana nak selamatkan negara bertuah Malaysia,

“Tetapi mesti berdasarkan bukti walaupun kadang-kadang mengambil masa (lama),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya