KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyasar untuk mengambil tindakan serta menyelesaikan aduan dalam tempoh 24 jam atau kurang bagi sebarang masalah yang dilaporkan oleh rakyat negeri ini.
MPK juga menyasarkan untuk melupuskan tempat pembuangan sampah tepi jalan secara berperingkat.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, MPK juga akan menjalankan penambahbaikan kemudahan dan prasarana yang berada di bawah tanggungjawabnya termasuklah tempat pembuangan sampah berpusat di seberang taman perumahan yang baharu termasuklah masalah ketiadaan tong sampah di depan rumah.
“Pembinaan Taman Rekreasi Madani di lokasi terpilih juga merupakan agenda utama yang ditekankan dalam masa terdekat ini. Larangan dan pemberhentian pembungkusan makanan atau minuman menggunakan polisterin putih turut akan dikuatkuasakan tidak lama lagi,” katanya ketika mempersembah maklumkan perkara itu kepada Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi sembah mengadap di Galeri Diraja Arau di sini semalam.
Beliau yang merupakan Pegawai Tadbir Diplomatik sebelum ini menjalankan tugas sebagai Pengarah di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kedah.
Anak jati Perlis itu juga pernah berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sesi mengadap tersebut juga bertujuan bagi memohon titah pandangan dan nasihat baginda mengenai beberapa perancangan pembangunan di negeri ini yang perlu ditambah baik supaya sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.
Ia juga demi kemaslahatan dan imej negeri Perlis yang kian juga menerima kunjungan pengunjung dan pelancong sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 ini.-UTUSAN