Maybank Islamic perkenal platform dalam talian MyQurban - Utusan Malaysia

Maybank Islamic perkenal platform dalam talian MyQurban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Islamic Berhad melancarkan MyQurban, perkhidmatan kewangan digital yang menawarkan kemudahan di hujung jari untuk menunaikan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha.

Ia adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Maybank Islamic untuk menjadikan perkhidmatan pengurusan kekayaan Islamnya lebih mudah diakses dengan mendigitalkan rangkaian produk patuh syariah hujung ke hujung secara holistik.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Muzaffar Hisham berkata, sebagai peneraju perbankan Islam di Malaysia, pihaknya sentiasa menginovasikan perkhidmatan mereka untuk memberi pelanggan kelapangan minda agar mereka dapat menyempurnakan kewajipan mereka dengan sebaik mungkin, termasuk ibadah korban.

“Inisiatif MyQurban merupakan salah satu cabang di bawah teras penyucian harta dari sudut perancangan kekayaan Islam di Maybank Islamic. Ia juga peringatan buat umat Islam untuk menzahirkan kesyukuran, belas kasihan serta amal jariah, di samping mengeratkan silaturahim.

“Selaras dengan nilai-nilai yang dipupuk menerusi ibadah korban, kami mengambil peluang ini untuk mencetuskan impak yang lebih besar ke atas komuniti, terutama mereka yang memerlukan, melalui inisiatif sadaqah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, MyQurban merupakan platform terbaik yang memudahkan tempahan korban, khususnya bagi pelanggan yang mementingkan fleksibiliti masa dan selesa dengan pelaksanaan korban secara dalam talian.

“Melalui kerjasama dengan empat pembekal korban iaitu Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM), EZQurban, Aqiqah Centre dan Aqiqah4u, pelanggan mempunyai pilihan untuk menyertai korban di luar Malaysia dengan kos lebih mampu milik.

“Antara kelebihan platform MyQurban ini adalah pelanggan dapat menikmati diskaun RM20 bagi setiap pesanan bahagian korban yang dibuat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Maybank Islamic turut menjadikan ibadah korban tahun ini lebih bermakna melalui inisiatif kempen sadaqah.

“Dengan setiap bahagian korban yang dipesan oleh pelanggan, pihak Maybank Islamic akan memadankan sumbangan tersebut dan seterusnya dana berkenaan disalurkan kepada Mercy Malaysia untuk misi kemanusiaan di Palestin.

“Justeru, kami berharap semoga lebih ramai pelanggan tampil membuat pesanan korban di platform MyQurban kerana semakin banyak pesanan korban yang dibuat, semakin tinggi dana yang dapat kita sumbangkan bersama-sama untuk membantu saudara kita di Palestin,” katanya.

MyQurban adalah satu solusi di bawah rangkaian penuh produk dan perkhidmatan pengurusan kekayaan Islam Maybank Islamic yang merangkumi kesemua lima teras pengurusan kekayaan, penghasilan, pengumpulan, perlindungan, penyucian dan pengagihan kekayaan.

Platform ini diharap dapat melahirkan kepuasan dalam pengorbanan dengan Maybank Islamic MyQurban bermula sekarang hingga 19 Jun dan untuk maklumat lanjut boleh layari maybank.my/myqurban. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya