ARAU: Seluruh masjid di negeri ini perlu menjadi lambang syiar agama Islam dan mengangkat sunnah Rasulullah SAW sebagai mana pegangan utama di Perlis.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap jawatankuasa kariah dan agensi agama perlu memastikan majlis-majlis ilmu diatur serta diseimbangkan pengisiannya mencakupi bidang-bidang penting dalam agama.
Titah baginda, pelaksanaan majlis ilmu berkenaan boleh dilaksanakan meliputi bidang seperti aqidah, ibadah, akhlak dan pelbagai lagi termasuk pengetahuan am seperti kesihatan, ekonomi serta isu-isu semasa.
“Secara tidak langsung, kita mampu menjadikan masjid sebagai sebuah institusi berimpak besar ke arah ‘Rakyat Perlis Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ buat masyarakat sekeliling dan juga luar,” titah baginda berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Al-Mursyid, Guring, di sini Bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-81 Tuanku Raja Perlis.
Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Puan Muda Perlis , Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid berkenaan, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar masjid perlu dipastikan sebagai tempat selamat dan bajet bagi penyelenggaraan institusi berkenaan juga perlu diperuntukkan dengan sewajarnya.
“Agenda masjid sempurna dan lengkap fasiliti haruslah diletakkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang hendak dicapai di negeri ini,” titah baginda.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian dan pengurniaan cenderahati kepada dua orang Penerima Anugerah Ahli Kariah Berjasa.
Penerima pertama adalah Kassim Hassan mewakili allahyarham ayahnya, Hassan Senapi yang telah mewakafkan tapak untuk membina sebuah masjid dinamakan sebagai Masjid Kampung Guring. Allahyarham juga sebelum ini telah berkhidmat sebagai imam sejak sekitar tahun 1970 sehingga tahun 1980.
Penerima kedua pula adalah Ramli Lebai Zain yang berkhidmat sebagai siak di Masjid Lama Arau dan telah menaburkan bakti di Masjid Lama Kampung Guring. Beliau juga kemudiannya berkhidmat sebagai bilal di Masjid Kampung Guring dan dilantik Imam 1 pada tahun 2006 sehingga tahun 2017.-UTUSAN