KISAH rumah tangga artis merupakan antara topik yang mudah mendapat perhatian masyarakat.
Perceraian, pergolakan rumah tangga, perebutan hak penjagaan (anak) mahu pun pertikaian pemberian nafkah membabitkan suami isteri bergelar artis sering sahaja diperkatakan netizen.
Tapi kalau berkenaan pasangan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel, mungkin yang ternampak pada perkahwinan mereka rata-ratanya indah-indah belaka.
Bahkan netizen senang melihat keharmonian perkahwinan kedua pasangan pelakon yang juga bergelar usahawan itu.
Bukan itu sahaja, cara mereka membesarkan anak-anak dan membina keluarga tanpa mengabaikan asas agama bukan sahaja mendapat pujian, malah dijadikan teladan.
Lebih satu dekad bergelar mendirikan bahtera perkahwinan, Wawa akui dia dan suami berdepan pelbagai cabaran dalam mengekalkan kebahagiaan yang mereka kecapi hari ini.
Bahkan sebelum ini Wawa pernah menjadi bahan cakap-cakap orang menerusi kenyataannya yang memaklumkan pernah menyesal bersuamikan Aeril ketika popularitinya memuncak.
Namun pasangan itu dikurnikana jodoh berpanjangan dan kini terus mempertahankan rumah tangga yang terbina berbelas tahun lamanya.
Berkongsi tips, Wawa tidak menolak kepentingan hidup bertoleransi selain berkongsi rutin harian menjadi asas yang mengukuhkan perkahwinan mereka.
“Sudah 13 tahun kami berkahwin, tapi terasa seperti masih ketika zaman bercinta meskipun sudah lama bergelar suami isteri.
“Sebagai pasangan, masa bersama itu kena perbanyakkan Walau sibuk macam mana sekali pun.
“Buatlah apa aktiviti sekali pun, tonton wayang, waima tonton televisyen di rumah pun kena bersama-sama. Kurangkan masa dengan telefon, banyakkan berkomunikasi secara berdepan,” katanya selepas sidang media filem Abnormal: Buas.
GANGGUAN SIHIR
Sekitar 13 tahun lalu juga, Wawa dan Aeril pernah mencetuskan kontroversi menerusi kisah perkahwinan mereka.
Pernikahan pertama mereka diadakan pada 25 Februari 2012 di rumah pengurus Aeril ketika itu bagi menghalalkan hubungan, sementara pernikahan kedua berlangsung 4 Februari 2013 dengan berlandaskan syariat dan undang-undang Malaysia.
Kini, bahagia milik Wawa dan Aeril. Rumah tangga mereka harmoni dengan kehadiran empat cahaya mata iaitu Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 8, Ahmad Fakhruddin Attar, 10, Ayya Soffya, 4, dan Muhammad Fahri, 3.
Berkongsi turun naik alam perkahwinan, Wawa tidak menolak berdepan gangguan-gangguan yang cuba menggoncang rumah tangganya.
“Memang masih ada (gangguan). Baru-baru ini juga kami temukan benda-benda pelik yang ditinggalkan di pejabat kami.
“Saya akui perkara-perkara ini memang menakutkan kami sekeluarga. Sebelum ini pun kami pernah diganggu, sampaikan duit syiling keluar dari tubuh saya dan Aeril. Itu antaranya.
“Apa yang kami boleh buat adalah jangan tinggalkan amalan (agama). Kami hanya mampu berdoa dan berharap gangguan-gangguan seperti ini tidak berlanjutan,” ujarnya.