Malaysia naik Tahap 2 mengenai pemerdagangan orang selepas 7 tahun

Malaysia naik Tahap 2 mengenai pemerdagangan orang selepas 7 tahun

ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM menerusi Op Pintas di perairan berhampiran Pantai Sungai Besar di Sabak Bernam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia berjaya meningkat kepada kedudukan Tahap 2 (Tier 2) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang tahun 2024 selepas kali terakhir berada pada tahap itu tujuh tahun lalu

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan itu amat strategik dan signifikan sebagaimana diumumkan jabatan itu semalam di Washington kerana Malaysia sebelum ini dinilai pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist) pada tahun 2023 .

Katanya, kali terakhir Malaysia berada di Tahap 2 adalah pada tahun 2017.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak berkepentingan yang turut memberi sumbangan bermakna dan berterusan dalam menjayakan agenda membanteras pemerdagangan
orang di Malaysia.

“Antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman signifikan, program kesedaran, pendakwaan terhadap penjawat awam.

“Ia termasuklah peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang,” katanya hari ini.

KDN berkata, laporan itu juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan
tindakan yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April 2024 hingga 31 Mac 2025.

“Selain itu, laporan ini juga merekodkan perkara penambahbaikan baharu iaitu memberi
perkhidmatan berpaksikan mangsa kepada semua tanpa syarat yang memerlukan penyertaan mereka dalam prosiding jenayah.

“Tiga fokus utama telah direncana bagi memandu hala tuju pelaksanaan usaha negara iaitu mempertingkatkan kerjasama antara agensi, memperhebat usaha mengenalpasti dan melindungi mangsa serta menambah baik proses pendakwaan,” jelasnya.

Jelasnya, dalam hubungan ini, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui KDN bersama-sama kementerian dan agensi lain berazam melaksanakan tindakan dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang di Malaysia.

Ia termasuklah dalam menangani trend terbaharu melibatkan penipuan pekerjaan dan insiden pekerja terabai.

“Usaha menoktahkan pemerdagangan orang ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan.

“Justeru, KDN dan MAPO terbuka untuk berganding bahu dengan badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat madani (CSO), pertubuhan antarabangsa, perwakilan diplomatik asing dan beberapa lagi dalam menangani isu ini melalui pendekatan menyeluruh negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya