Makin akrab, ALVN saling tukar lagu dengan Min-hyuk CN Blue - Utusan Malaysia

Makin akrab, ALVN saling tukar lagu dengan Min-hyuk CN Blue

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, ALVN atau Alvin Chong, menyifatkan kawannya yang juga ‘idol’ terkenal Korea Selatan, Kang Min-hyuk sebagai seorang yang merendah diri.

Menurut Alvn, pengenalannya dengan pemain drum kumpulan CN Blue itu bermula apabila mereka duduk sebaris semasa menghadiri acara pertunjukan fesyen di Milan, Itali.

“Sebelum acara bermula, kami berborak dalam setengah jam. Ketika itu penguasaan bahasa Inggerisnya masih belum lancar jadi tidak dapat berbual banyak.

“Bagaimanapun, ketika itu kami sudah saling bertukar Instagram. Sejak itu kami rajin juga mesej dan berbual di aplikasi itu,” katanya.

Alvn berkata demikian ketika ditanya lanjut mengenai persahabatannya bersama Kang yang pernah dikongsikannya di Intagram sebelum ini.

Bukan itu sahaja, penurut pelakon Takdir Yang Tertulis itu lagi, persahabatan mereka menjadi semakin akrab apabila bertemu sekali lagi di sebuah acara fesyen di Jakarta, Indonesia.

Susulan daripada itu, Kang mengajak Alvn bertemunya memandangkan penyanyi itu bakal terbang ke Korea Selatan untuk tujuan kerja.

“Sejak jumpa di Jakarta, dia ambil kelas bahasa Inggeris. Saya maklumkan akan pergi ke Korea Selatan, dia cadangkan agar kami bertemu lagi dan lepak.

“Bila saya ke sana bulan lalu, dia ambil saya dengan keretanya dan bawa saya ke restoran Jepun serta kafe yang menjual pencuci mulut dan bagel kesukaannya.

“Ketika itu dia sudah selesa untuk bertutur dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Alvn ditemui Utusan Malaysia di majlis pelancaran kedai baru Illy Caffee di Hartamas, baru-baru ini.

Walaupun menyanyikan genre muzik yang berbeza, dia dan Kang bagaimanapun rajin bertukar pandangan tentang muzik masing-masing.

“Saya ada tanya tentang ruang berkolaborasi dengan CN Blue, namun mereka tiada perancangan untuk itu.

“Cuma saya dan Min-hyuk saling bertukar lagu kami yang belum diterbitkan. Kami saling minta pandangan dan pendapat masing-masing.

“Genre muzik kami sangat berbeza, lagu-lagu saya akan datang jenis mudah didengar semasa memandu. Sangat ringan,” tambahnya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Instagram, Alvn berkongsi beberapa foto dan video menunjukkan keakrabannya bersama Kang Min-hyuk dengan kapsyen ‘selepas Milan dan Jakarta, kita bertemu lagi di Seoul’.

Kang turut menurunkan komen di hantaran tersebut berbunyi,

‘Semoga awak mendapat pengalaman terbaik di Korea!’tulisnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya