Liga Super Perlis di kelas tersendiri, gamit nostalgia ke stadium keramat - Utusan Malaysia

Liga Super Perlis di kelas tersendiri, gamit nostalgia ke stadium keramat

PARA pasukan yang bertanding dalam Liga Super Perlis bergambar bersama para majlis pelancaran Liga Super Perlis 2024 di stadium Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penganjuran Liga Super Perlis memasuki edisi ketiga berada di kelas tersendiri yang menjadi tumpuan bagi rakyat negeri ini melepaskan kerinduan menyaksikan aksi bola sepak khususnya di stadium keramat Tuanku Syed Putra di sini.

Liga Super 2024 yang bakal membuka tirai pada 5 Julai sehingga Oktober depan itu bakal menampilkan lapan pasukan dari negeri ini yang membawa nama kelab masing-masing iaitu Arau City FC, Kuala Perlis Titans FC, KSMR Kangar FC, Suria Paya United SC SMKTS, Bintong FC, Kangar City FC, Anak Nelayan Seberang Ramai FC dan Juang Kayang FC.

Menariknya, kelab-kelab berkenaan cukup mantap daripada segi pengurusan khususnya dalam mencari dana sendiri serta mempunyai kekuatan penyokong selain menampilkan para pemain berkualiti dalam kalangan anak tempatan.

Pengerusi Jawankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, penganjuran Liga Super Perlis diharap menjadi sebuah liga tempatan atau komuniti yang kuat dengan mendapat sokongan rakyat di negeri.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu Liga Super Perlis ini hanya dikenali sebagai ‘liga kampung’ sebaliknya menjadi platform terbaik bukan sahaja mencari pemain berbakat sebaliknya menjadikan liga tersebut satu jenama kukuh yang sentiasa dinantikan rakyat Perlis sebagai mana liga tempatan di Thailand.

Selain itu, katanya, misi utama Liga Super Perlis tahun ini juga adalah untuk memantapkan tahap pengurusan kelab-kelab bertanding dan terus ditambah baik pada setiap tahun.

“Keupayaan pengurusan kelab itu sendiri yang mempunyai sistem terbaik bukan sahaja daripada segi promosi sebaliknya keupayaan mencari dana serta tajaan sendiri sekali gus mengukuhkan kelab-kelab bola sepak ini.

“Saya ambil contoh, pasukan Juang Kayang FC antara pasukan baru namun kalau dilihat di media sosial agak ke hadapan begitu juga Bintong FC difahamkan mereka mendapat tajaan sehingga RM80,000. Cuba bayangkan untuk liga tempatan di negeri sahaja mereka mampu dapat tajaan sehingga RM80,000.

“Kita kena tahu atau belajar bagaimana cara mereka mendapatkan tajaan tersebut, bagaimana mereka meyakinkan penaja dan itu yang perlu dicontohi oleh pasukan-pasukan lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Liga Super Perlis 2024 di stadium Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Liga Super Perlis 2024 dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Perlis dan dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis yang diiktiraf oleh Amateur Football League (AFL).

Sementara itu, Wan Zikri berkata, Liga Super Perlis juga bakal menjadi pengubat rindu atau mengembalikan nostalgia rakyat Perlis terhadap aksi bola sepak khususnya di gelanggang keramat stadium Tuanku Syed Putra ini.

Sementara itu, Mohd. Shukri berharap Liga Super Perlis 2024 akan lebih meriah berbanding sebelum-sebelum ini dan menjadi platform menyemarakkan sukan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya