TAHUN ini boleh dikatakan banyak kes saman-menyaman melibatkan agensi bakat dan penyanyi yang disebut sebagai ‘idol’ di Korea Selatan.
Terbaharu, ahli kumpulan EXO iaitu Chen, Baekhyun dan Xiuman mengejutkan semua apabila mengumumkan bakal melayangkan surat saman kepada bekas agensinya iaitu SM Entertainment yang dikatakan tidak mengagihkan keuntungan yang diperoleh dengan adil.
Tiga orang ahli EXO tersebut yang lebih mudah jika digelar sebagai ‘CBX’ dalam artikel ini yang telah menandatangani kontrak dengan label baharu, INB100 mendedahkan SM Entertainment tidak membayar 5.5 peratus hasil pengagihan muzik mereka kepada INB100 seperti yang dipersetujui.
KADAR 10 PERATUS TIDAK MASUK AKAL
Bukan itu sahaja, mereka juga mengatakan SM Entertainment meminta agar setiap daripada mereka memberikan keuntungan kerja secara individu sebanyak 10 peratus kepada syarikat itu.
Trio tersebut juga mengatakan SM Entertainment tidak mempunyai hak untuk menentukan kadar peratus yang perlu diberikan mereka kepada syarikat itu.
Namun begitu, menurut SM Entertainment, kadar itu adalah wajar sebagai ganti rugi CBX menamatkan kontrak mereka bersama agensi itu lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya.
Tidak berdiam diri, agensi bakat itu juga telah menyaman tiga orang penyanyi berkenaan pada 13 Jun lalu.
“Walaupun mereka cuba memanipulasi pendapat orang ramai agar memihak kepada mereka, kami akan menghadapi kes ini dengan tenang sesuai dengan prinsip undang-undang,” tulis SM Entertainment dalam satu kenyataan akhbar.
Ketua kumpulan Exo, Suho, bagaimanapun baru mengetahui mengenai perkara ini melalui laporan yang dikeluarkan media.
Suho khuatir sekiranya tindakan saman-menyaman ini akan memberi kesan secara tidak langsung kepada peminat mereka yang mungkin akan berubah hati.
Dalam satu wawancara, pemilik nama sebenar Kim Jun-myeon itu meminta maaf kepada peminat di samping memberi khabar gembira bakal melancarkan sebuah album baharu musim sejuk ini.
Dalam pada itu, ahli trio EXO itu juga sempat memuat naik kenyataan meminta agar peminat tidak cemas dan bertenang mengikuti kon ik besar yang terjadi antara mereka.
“Kami khuatir kerana telah membuat anda semua cemas dan kecewa dengan masalah yang kami hadapi.
“Apa yang kami hadapi tidak akan mengganggu aktiviti dan persahabatan kami dengan ahli Exo lain memandangkan mereka masih di bawah pengurusan SM Entertaiment,” katanya.