Kumpulan pertama 280 jemaah haji Malaysia selamat tiba di tanah air

Kumpulan pertama 280 jemaah haji Malaysia selamat tiba di tanah air

MOHD. Na'im Mokhtar menyambut ketibaan para jemaah haji penerbangan pertama di KLIA Terminal 1. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 280 orang jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 9.30 malam semalam.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Kumpulan jemaah dari Kedah dan Kelantan itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada pukul 6.40 pagi (waktu Arab Saudi) dengan pesawat AMAL by Malaysia Airlines (MH 8251).

Mohd Na’im berkata, perjalanan dan proses haji bagi tahun 1445H/2024M ini boleh dianggap berjaya dan dapat dilaksanakan dengan tertib dan jayanya.

Beliau berkata, beliau bagi pihak Tabung Haji (TH) merakamkan rasa syukur dan amat berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan semua pihak bagi memastikan segala urusan haji berjalan dengan lancar.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada TH kerana sekali lagi meletakkan sepenuh komitmen dalam menyampaikan perkhidmatan bermutu tinggi dan tatakelola pengurusan yang amat cekap.

“Kesungguhan yang dipamerkan TH terbukti dengan pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi melalui Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan buat kali ketiga berturut-turut baru-baru ini,” katanya.

Katanya, walaupun menghadapi beberapa keadaan mencabar seperti cuaca panas terik, namun kesemua jemaah dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, teratur dan tahap disiplin tinggi.

Beliau juga menjelaskan, seramai 71 jemaah haji yang mengalami masalah kesihatan dan terlantar di Pusat Rawatan TH turut dibawa berwuquf di Arafah menggunakan lapan buah bas diubah suai melalui program Safari Wuquf supaya mereka dapat menyempurnakan rukun haji yang kedua itu.

Jelasnya lagi, TH sememangnya komited dalam usaha memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah terjamin sepanjang melaksanakan ibadah haji.

“Alhamdulillah atas beberapa pembaharuan dan inisiatif yang diambil telah memungkinkan operasi haji kali ini berjalan dengan lancar dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Na’im berkata, setakat hari ini, seramai 18 jemaah haji negara, iaitu 13 lelaki dan lima perempuan berusia lingkungan 37 hingga 79 tahun, meninggal dunia di Tanah Suci.

Katanya, kebanyakan mereka yang meninggal dunia akibat terkena serangan jantung dan mendapat jangkitan kuman pada darah.

“Daripada 18 jemaah yang meninggal dunia, 10 jemaah sempat berwukuf pada 9 Zulhijjah lalu, manakala urusan badal haji bagi baki lapan jemaah yang tidak sempat berwukuf, telah disempurnakan oleh pihak TH tanpa sebarang kos tambahan,” katanya.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bagi membawa kesemua jemaah haji pulang ke tanah air bermula 24 Jun dan penerbangan terakhir dijadualkan pada Sabtu, 20 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN