DUA gabungan terhebat, Def Gab C dan Kristal X bakal beraksi dalam satu persembahan ‘Merah Hitam’ yang akan menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini.
‘Merah Hitam’ adalah perkataan simbolik yang diambil daripada adaptasi kedua-dua lagu hits kumpulan tersebut iaitu ‘Merah’ daripada Def Gab C dan ‘Hitam’ yang merujuk kepada lagu ‘Seragam Hitam’ nyanyian Kristal X.
Def Gab C, yang dikenali melalui lagu-lagu rock keras dengan menampilkan gaya vokal unik dan santai pastinya dilihat mampu mengubat rindu peminat setelah sekian lama menyepi daripada radar hiburan tanah air.
Kumpulan yang bertapak di Kuala Lumpur ini bukan sahaja dikenali melalui penampilan stylo seperti pemakaian dan warna rambut yang ‘berani mati’, malah imej modern rock yang diperkenalkan berjaya membawa kumpulan ini keluar daripada kepompong old school sekali gus membezakan mereka dengan kumpulan rock lain.
Tidak sekadar menjual imej, tetapi setiap rilisan yang dihasilkan mampu mencatat jualan memberangsangkan sehingga kumpulan ini berjaya mengungguli beberapa anugerah berprestij antaranya, kategori Lagu Rock Terbaik (Anugerah Era 2000), final Anugerah Juara Lagu (AJL2000) serta Album Rock Terbaik (AIM2002).
Penyanyi Def Gab C, Mohd. Ashid Ahmad, 51, atau lebih dikenali sebagai Asheed, dilihat masih bersemangat walaupun kesihatannya sedikit terganggu akibat sakit sendi yang dialaminya hampir 20 tahun lalu.
Sebelum ini, Asheed pernah mendedahkan penyakit yang dialaminya bukan sahaja mengganggu karier tetapi kehidupan sehariannya, malah dia juga sudah menghabiskan ratusan ribu ringgit bagi merawat penyakitnya namun tidak berhasil.
“Alhamdulillah, tahap kesihatan saya kini baik-baik sahaja, kalau setakat 10 lagu itu saya masih mampu, cuma tak boleh menyanyi secara terus menerus sampai dua jam. Seperti orang berlari marathon, bila sudah sampai had mereka juga perlukan rehat.
“Konsert ini akan uji kemampuan saya, dan insya-Allah saya mampu lakukannya,” ujarnya.
Apa yang berlaku juga bukanlah penghalang baginya untuk memberikan persembahan bertenaga dan terbaik kepada peminat yang hadir, malah keterujaannya beraksi bersama anggota kumpulan jelas tergambar setelah sekian lama bergerak aktif secara solo.
“Ini adalah penampilan sulung Def Gab C selapas hampir empat tahun. Saat yang sangat saya nantikan kerana vibe buat persembahan di pentas bersama kumpulan adalah puncak kepuasan malah memberi energi yang berbeza kepada peminat.
“Seterusnya, ini juga satu reunite kembali Def Gab C dan selepas ini kami terus merancang untuk mengadakan Tour di seluruh negara,” ujar Asheed. Selain Asheed, Def Gab C turut dianggotai Jemboo (gitar), Epyn (bass) dan Ahtonk (drum).
BERSAMA BANTU EKONOMI RAKAN-RAKAN
KRISTAL X yang turut diberi peluang beraksi, dilihat sebagai partner stage secocok untuk meletakkan malam bersejarah itu dikenang peminat.
Bermula aktif pada awal tahun 2000, kumpulan yang dianggotai oleh empat remaja dari Kuala Lumpur ini membuat percaturan berani dengan menjadikan genre rock sebagai trademark mereka walaupun era muzik rock sudah berlalu ketika itu.
Pernah dilanda kontroversi gara-gara masalah dalaman bersama anggota terdahulu, justeru sikap profesional yang ditunjukkan dengan membawa haluan masing-masing serta bersaing secara sihat akan mewujudkan perdamaian antara satu sama lain.
Lan atau nama penuhnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof mena kan hubungannya dengan anggota kumpulan Kristal bermasalah malah dia menjelaskan tidak ada sebarang isu berbangkit di antara mereka dan hanya mahu bersaing secara sihat tanpa sebarang perselisihan.
“Konsep ‘cari makan’ itu sudah menjadi pekerjaan kami selama ini. Saya fikir tidak perlu kisah mengenai perkara ini dan terus bekerja sahaja. Kita bersaing secara sihat.
“Semua yang masih bersama memang cari makan dalam muzik. Jadi, ini mungkin salah satu manfaat yang boleh saya kongsi bersama anggota lain,” ujarnya.
Lan menjelaskan, pembabitannya bersama anggota Kristal X adalah untuk saling membantu dalam mencari rezeki selepas bergerak solo sejak 2017 dengan menggunakan nama pentas, Lan Solo.
Tambahnya, Kristal X sangat teruja apabila diberi peluang beraksi, malah itu adalah saat yang dinantikan kerana ia bakal memberi peluang kepada peminat setia merasai sendiri kepuasan setelah sekian lama mengharapkan mereka muncul bersama di pentas.
“Sebelum ini memang selesa bergerak sendiri tetapi vibe bersama band cukup berbeza. Ini juga salah satu cabang yang saya boleh buat untuk bantu ekonomi rakanrakan. Saya tidak mahu senang sendirian, jadi mahu tambah baik apa yang boleh,” ujarnya.
Tambahnya, lokasi yang diadakan juga sangat bertepatan dan sistematik terutamanya dari segi penataan bunyi dan visual bagi sebuah konsert yang diadakan pada hari kemerdekaan.
“Saya dan anggota Kristal X yang lain iaitu Ainol (Drum), Napie (Gitar) Amai (Bass) dan Ayop (Keyboard) sangat bersemangat untuk all out rockin bersama para peminat semua.
“Persembahan ‘Merah Hitam’ ini bukan sahaja untuk menghibur tetapi juga ingin menginspirasikan muzik yang penuh bermakna dan membangkitkan semangat patriotik sempena sambutan hari kebangsaan,” katanya.
Menurut pengarah persembahan, Amad, konsert ini diadun dengan pelbagai suntikan artistik tersendiri, baik dari segi tema dan manifesto. Selain itu, yang paling utama di malam persembahan pastilah nilai elemen yang akan dipaparkan.
“Kita juga akan meraikan Merdeka pada konsert tersebut, pastinya ada sedikit elemen patriotisme yang disampaikan dengan cara kami sendiri. Saya juga akan pastikan ia bakal menjadi kenangan halwa telinga, kepuasan jiwa dan visual,” terangnya.
Konsert Merdeka ini akan menampilkan 20 lagu yang masih malar segar dan pernah menjadi halwa telinga para peminat seni tanah air.
Gabungan dua kumpulan terhebat ini pastinya bakal menjanjikan malam yang penuh dengan emosi, energi serta kekuatan muzikal yang tiada tandingannya.
Ayuh! Jom kita sama-sama berdansa dan head banging bersama Def Gab C dan Kristal X dalam Konsert Merah Hitam di Zepp, Kuala Lumpur pada 31 Ogos nanti!