Kodi Rasheed belajar daripada pelakon hebat - Utusan Malaysia

Kodi Rasheed belajar daripada pelakon hebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA lebih awal meletakkan keyakinan bahawa Abnormal: Buas bakal menjadi filem yang akan hidup dengan lakonan bermutu.

Perkara itu kerana barisan pelakon yang membintanginya bukan ‘calang-calang’, bahkan ada Adlin Aman Ramlee, Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Shaheizy Sam, Nabila Huda, Aeril Zafrel, Emelda Rosmila, Wawa Zainal dan ramai lagi.

Saya juga teruja menonton lakonan Kodi Rasheed. Pada saya ada sebab kenapa penerbit pilih dia, seorang pelakon junior berkongsi satu frame dengan mereka yang hebat dan berpengalaman dalam filem ini.

Ternyata, seperti lakonan dalam drama dan filemnya sebelum ini, pemilik nama penuh Mohd. Zhazmeer Mohd. Rasheed tidak mengecewakan.

Benarlah dikatakan mereka yang bijak pandai, ilmu itu senjata yang hebat. Kebolehan lakonan yang dimiliki Kodi bukan semata-mata kerana bakat semula jadi, tetapi juga ilmu yang ditimbanya lebih satu dekad.

“Orang label saya pelakon method mungkin disebabkan saya belajar daripada mereka yang hebat. Que Haidar, Adlin, Fauziah Ahmad Daud, Ellie Suriaty Omar, Khir Rahman dan ramai lelaki. Mereka ini bukan sahaja cikgu, tapi juga sahabat-sahabat saya.

“Saya bergaul dengan orang-orang ini, ceduk ilmu dan pengalaman mereka.

“Dan Alhamdulillah, saya bertuah kerana selalu diberi peluang berlakon dengan pelakon-pelakon seperti ini selain saya dapat watak dan skrip yang bagus. Ia bukan perkara yang disengajakan,” kongsinya selepas malam gala dan sidang media filem Abnormal: Buas baru-baru ini.

Kodi dalam filem yang bakal ditayangkan pada 20 Jun 2024 itu membawa watak perompak bernama Roket.

Pelakon berusia 34 tahun itu memaklumkan Abnormal: Buas merupakan filem pertama yang menggabungkan dia Emelda.

“Ini filem kedua saya bersama Adlin. Tapi adalah yang pertama bersama Emelda.

“Saya dan pasangan suami isteri ini sudah lama bersahabat, kami mula kenal satu sama lain ketika saya mula-mula berlakon teater dahulu. Sebab itu tidak timbul rasa kekok ketika berlakon dengan mereka dalam filem ini.

“Saya anggap mereka pelakon hebat. Lebih-lebih lagi Adlin, saya cukup suka cara kerjanya yang selalu berbincang sebelum memulakan lakonan.

“Sebab itu saya katakan, saya bertuah kerana selalu berpeluang bekerja dengan pelakon-pelakon yang hebat,” katanya.

TIDUR TIGA, EMPAT JAM SEHARI

TAHAP profesionalisme Kodi melunaskan tugasnya sebagai pelakon mengagumkan saya. Aktor tampan ini sanggup mengambil risiko semata-mata untuk menghidupkan watak.

“Contoh filem Mama, yang mana saya berlakon sebagai penagih dadah. Realitinya saya bukan penagih, jadi saya cari jalan lain untuk dapatkan fizikal dan perasaan yang betul bagi watak itu.

“Apa yang saya buat adalah hadkan masa tidur kepada tiga hingga empat jam satu hari sepanjang menjayakan watak itu.

“Itu inisiatif paling berisiko kerana ia dibuat tanpa nasihat pakar. Tapi hasilnya, saya berjaya munculkan rupa seorang penagih, dengan pada ketika itu saya ‘haramkan’ solekan sentuh muka saya,” katanya.

Kata Kodi, dia tidak gemar ulang watak yang sama, malah lebih mahu mencuba karakter berlainan.

“Saya bukan pelakon asal boleh. Tapi kalau saya dapat watak dan skrip yang saya idamkan, ditambah pula pasukan kerja yang serasi, bayaran sanggup saya letak nombor dua.

“Lakonan ini bukan sebab bayaran semata-mata. Kadang bersangkut paut dengan watak dan pelakon yang digandingkan dengan kita.

“Saya lepas ini kalau berpeluang, mahu bawa watak penderita sakit mental. Contoh watak seorang yang mengalami sindrom tourette yang sedang saya kaji sekarang ini,” katanya.

Habis –

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN