KKM bentang RUU pindaan Akta 50 pada sesi Parlimen kali ini

KKM bentang RUU pindaan Akta 50 pada sesi Parlimen kali ini

DZULKEFLY Ahmad ketika pelancaran myBRP@CKAPS di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk memastikan draf Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dapat dibentang secepat mungkin pada persidangan Parlimen kali ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, draf RUU pindaan itu telah dikemukakan dan masih berada di Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk semakan.

“Saya difahamkan oleh penasihat undang-undang KKM dan juga bahagian perkembangan perubatan bahawa mereka sedang melalui penelitian akhir dan dari situ, saya ingat akan dapat kita rangkum dan rumuskan untuk dibentangkan.

“Saya tidak tahu secara terperinci bila saya akan bentangkan kepada Kabinet, tapi kita mahu ia dibentangkan pada sesi Parlimen ke-15 ini,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran myBRP@CKAPS di sini hari ini.

Pada 7 Jun, media melaporkan draf RUU pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran melalui laluan paralel (parallel pathway), telah siap dan dikemukakan kepada AGC untuk semakan.

Beliau berkata, beberapa sesi libat urus juga dilaksanakan dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak berkepentingan lain sebelum dibentang dalam Kabinet.

Dalam perkembangan lain, Dr. Dzulkefly berkata, myBRP@CKAPS merupakan sistem aplikasi dalam talian yang dibangunkan untuk permohonan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Menurutnya, sistem berkenaan dibangunkan secara dalaman oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dan bermula dengan fasa 1A membabitkan Modul Pembaharuan Lesen Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta.

Jelas beliau, ia bakal menggantikan proses kerja manual dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan pemprosesan permohonan, seterusnya mempercepatkan proses pengeluaran lesen.

“Kalau dulu, ia diurus penyambungan (pengeluaran lesen) lapan bulan, saya dapat komitmen daripada seluruh pasukan CKAPS bahawa mereka bertekad untuk menurunkan waktu mengurus (lesen) hanya kepada tiga bulan, KPI (indeks petunjuk prestasi) dua hingga tiga bulan, banyak penjimatan kepada pemain industri fasiliti kesihatan swasta,” ujarnya.

Beliau berkata, modul pembaharuan lesen itu boleh diakses bermula 1 Julai ini di laman sesawang www.mybrp.moh,gov.my dan pembangunan sistem melibatkan empat fasa itu dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Tambahnya lagi, KKM menyasarkan penglibatan 120 fasiliti kesihatan swasta pada fasa awal dan perluasan penggunaan sistem tersebut akan dimaklumkan kepada para pemohon secara berfasa, seirimg dengan pembangunan modul-modul lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN