‘Kisah putus tunang itu ujian kecil’ - Utusan Malaysia

‘Kisah putus tunang itu ujian kecil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMASYHURAN yang dikecapi penyanyi, pelakon dan kini pengarah, Mawi masih segar dalam ingatan mereka yang berada di circa tiga tahun selepas 2005. Sehingga kini, mungkin tidak ada yang mampu menandingi fenomena tsumawi.

Namun dalam fasa kegemilangan itu, Mawi tidak menjangka, semuanya boleh berubah sekelip mata. Daripada suka, bertukar benci. Sebegitu mudah sekali. Daripada berguni surat cinta, bertukar kepada ugutan dan kecaman.

Tidak pernah luput memori itu dalam ingatannya. Dia masih ingat setiap apa yang berlaku. Oleh sebab itu, tanyakan sahaja. Dia pasti dapat mengungkap setiap detik dua fasa yang berlaku dalam kehidupannya.

“Saya diberi pengalaman berbeza. 2005, bermula era kegemilangan penuh kemasyhuran. Tetapi selepas itu, bertukar kepada kebencian. Tetapi gemilang atau tidak, semuanya bergantung kepada penerimaan sendiri.

“Saya pun tidak sangka, perasaan suka itu akan bertukar kepada benci sehingga satu ketika saya seolah-olah diburu dan diancam. Saya belajar cara untuk menerima. Apa yang ketika itu saya rasa.

“Tetapi selepas melalui pelbagai pengalaman hidup, saya sedar apa yang berlaku itu bukan sesuatu yang besar pun. Kalau dalam bahasa kasar, tak ada apa pun. Semuanya masih dalam ingatan saya,” katanya.

Tetapi dalam pada itu, apabila cerita-cerita lama seolah-olah diungkit, tidakkah ada rasa risau sekiranya kisah putus tunang yang dikatakan menjadi api pemula bara kebencian terhadapnya dibangkitkan?

Sementelah, sehingga sekarang pun, masih ada bunyi-bunyi walaupun sayup-sayup yang bercerita tentang ‘kesalahan’ yang dikatakan pernah dilakukan Mawi terhadap bekas tunangnya dahulu.

“Saya rasa perkara itu sudah menjadi terlalu kecil berbanding apa yang telah saya lalui. Pengalaman mati hidup semula, jadi gila sampai berbulan lamanya itu paling teruk saya hadapi.

“Disebabkan kejadian-kejadian itu, saya rasa apa sahaja ujian yang pernah juga saya lalui macam kecil. Saya pun tak mahu ungkit, fokus dengan perkara-perkara lain.

“Kita ini semua dalam ‘cerita’ Allah. Kalau kita faham, kita akan tenang dan reda dengan apa yang jadi. Tiada manusia sempurna, termasuk saya juga. Saya pun pernah buat silap,” ujarnya.

ZIM ZIM ALA KAZIM

Bercakap tentang filem baharunya, Zim Zim Ala Kazim, bapa kepada seorang anak ini berkata, sebagai seorang pembikin filem, penonton dapat melihat dirinya berdasarkan cara pengarahan dan genre filem yang disutradarakan.

“Kali ini saya tampilkan Ustaz Kazim sebagai tunggak utama. Cerita bagaimana dia disihir, disantau oleh orang-orang di sekeliling. Alhamdulillah, saya harap penonton akan menerima dan sokong filem ini.

“Filem ini pada awalnya dibikin untuk siaran layar kaca, tetapi selepas siap kami membuat keputusan untuk masuk pawagam. Jadi, jangan bandingkan Zim Zim Ala Kazim dengan filem luar yang bajet jutaan ringgit,” ujarnya.

Lantas selepas tiga naskhah di bawah arahannya, adakah Mawi sudah menemukan rentak pengarahan dan seninya? Adakah dia selesa dengan genre filem yang dilihat sebagai satira, sinis?

“Setiap pengarah ada ‘touch’ masing-masing. Apa yang kita lihat daripada filem dia, itu adalah jiwa dia, diri dia.

“Saya pun tak tahu nak jawab soalan itu, begitulah saya. Macam mana awak tengok filem saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya