Keyakinan berterusan pemegang taruh antarabangsa, pertumbuhan negara kukuh - PM

Keyakinan berterusan pemegang taruh antarabangsa, pertumbuhan negara kukuh – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) terus mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+ selain menetapkan tinjauan pada kadar ‘Stabil’.

Pengesahan itu sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pemegang taruh antarabangsa dalam prestasi pertumbuhan negara yang kukuh dan berdaya tahan, meskipun permintaan luaran mencabar dan peningkatan konflik geopolitik global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengekalan kredit berdaulat Malaysia dan tinjauan ekonomi positif itu menjadi bukti kepada pengurusan ekonomi berhemat kerajaan dan agenda reformasi Ekonomi Madani sudah membuahkan hasil yang baik.

Katanya, usaha ini merangkumi reformasi menyeluruh institusi untuk meningkatkan mudahcara
perniagaan dan daya saing.

“Ia termasuk penerusan pelaksanaan projek dan pembaharuan dasar di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dengan pasaran buruh yang memberangsangkan serta pertumbuhan menggalakkan daripada segi perdagangan dan pelaburan, ia memacu pertumbuhan KDNK suku pertama 2024 sehingga melepasi jangkaan.

“Kerajaan yakin dengan kemampuan negara untuk mencapai pertumbuhan dalam julat sasaran rasmi sebanyak empat hingga lima peratus pada tahun 2024,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Dalam perkembangan sama, S&P menggariskan Malaysia bakal menjadi penerima manfaat utama daripada ledakan industri semikonduktor global yang dipacu pengkomputeran kecerdasan buatan (AI).

S&P juga berpandangan kelestarian pertumbuhan ekonomi dan pelaksanaan reformasi subsidi pukal menjadi fakor penting dalam pengukuhan kewangan awam negara.

Fitch pula mengunjur pertumbuhan KDNK Malaysia akan melonjak sebanyak 4.4 peratus pada tahun 2024 dan 4.5 peratus bagi tahun 2025 iaitu lebih tinggi daripada 3.6 peratus pada tahun 2023.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan juga akan kekal komited dalam memastikan kemampanan kewangan awam dengan mematuhi trajektori konsolidasi fiskal yang konsisten.

“Defisit fiskal yang telah menirus kepada lima peratus pada 2023 dijangka akan menyusut lagi kepada 4.3 peratus pada tahun 2024.

“Dalam jangka sederhana, kerajaan menetapkan defisit fiskal untuk berada pada paras 3 peratus seperti termaktub di dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya