Kes Sindrom Kejutan Toksik Streptokokus: KKM dapatkan input WHO

Kes Sindrom Kejutan Toksik Streptokokus: KKM dapatkan input WHO

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mendapatkan input daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung situasi Sindrom Kejutan Toksik Streptokokus (STSS) yang melanda Jepun.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, maklumat berkenaan penting supaya Malaysia dapat mengambil langkah kawalan pencegahan awal mengenai jangkitan itu.

“Kita belum dapat apa-apa maklumat atau perkembangan, tapi kita memerlukan input daripada WHO, itu sangat mustahak.

“Dengan maklumat yang diterima, seterusnya kita dapat mengambil langkah untuk kawalan. Buat masa ini, ia belum sampai ke CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis) atau ke bahagian jangkitan kita,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran myBRP@CKAPS di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Jepun yang mencatatkan kes STSS melebihi 1,000 pada tahun 2024 seperti dilapor Xinhua yang memetik Institut Alergi Penyakit Berjangkit Nasional (NIAID), Selasa lalu.

Setakat 9 Jun, jumlah kes awal di negara itu sejak awal tahun ini mencecah 1,019, menurut data daripada NIAID, menandakan peningkatan ketara dalam penyebaran jangkitan yang teruk ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

STSS juga dikenali sebagai jangkitan streptokokus invasif teruk adalah penyakit yang bermula secara tiba-tiba yang disebabkan oleh Streptokukous Kumpulan A.

Gejala awal biasanya termasuk sakit tekak, demam, hilang selera makan, cirit-birit, muntah dan masalah gastrousus lain, serta gejala septik seperti tekanan darah rendah.

Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kerosakan tisu lembut, kegagalan pernafasan, kegagalan hati, kegagalan buah pinggang dan kegagalan pelbagai organ dengan kadar kematian melebihi 30 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN