Kes bunuh Zayn Rayyan: Ada pihak yang akan didakwa esok - Utusan Malaysia

Kes bunuh Zayn Rayyan: Ada pihak yang akan didakwa esok

ZAYN RAYYAN
ALLAHYARHAM ZAYN RAYYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 13 hari siasatan polis, seseorang yang ditahan dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, esok.

Menurut sumber, individu berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tempoh tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (CPC), tamat esok.

Sehingga berita ini ditulis, semakan dalam sistem mahkamah masih belum menunjukkan identiti sebenar pihak yang akan dituduh kerana kes masih belum didaftarkan untuk pendakwaan.

“Akan ada pihak yang didakwa esok namun saya tidak boleh menyatakan siapa individu itu. Tunggu esok,” ujar sumber berkenaan ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.

Ibu bapa kanak-kanak itu direman selama 13 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 selepas ditahan di sekitar Puncak Alam.

Pada 7 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan oleh sekumpulan penduduk dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai sekitar pukul 10 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN