Kerajaan negeri diharap permudah permohonan persembahan hiburan -Ay Ling - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri diharap permudah permohonan persembahan hiburan -Ay Ling

GAN AY LING-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri diharap dapat mempermudahkan sebarang permohonan penganjuran persembahan hiburan di Perlis yang dibuat mengikut garis panduan ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, pihaknya sebelum ini menerima banyak rungutan dan aduan daripada pelbagai pihak menyuarakan tentang kesukaran mendapatkan kelulusan penganjuran persembahan hiburan atau pertandingan nyanyian di negeri ini.

Menurutnya, beliau memahami kerajaan negeri bimbang sekiranya penganjuran program sedemikian bakal berlangsung secara keterlaluan namun kebanyakan penganjur telah memberi jaminan untuk mengikut garis panduan ditetapkan.

“Saya telah didatangi beberapa pihak sebelum ini yang menyuarakan tentang masalah tersebut biarpun mereka telah mengikut garis panduan hiburan di negeri ini. Oleh itu, saya berharap agar kerajaan negeri dapat mempermudahkan proses permohonan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil dilaporkan berkata, garis panduan berkaitan hiburan di negeri ini telah lama ditetapkan dan ia dikembalikan semula pada era baharu dengan menitik beratkan beberapa aspek selaras hasrat serta aspirasi kerajaan negeri.

Katanya, setiap penganjur yang ingin melaksanakan program hiburan perlu membuat permohonan berkaitan lesen dan diberi penerangan tentang perkara-perkara tidak dibenarkan mengikut garis panduan tersebut untuk dijadikan panduan.

“Jadi apabila mereka menghantar permohonan itu, kita bukan hanya lihat sekadar permohonan fizikal semata-mata namun penganjur perlu datang dan ceritakan tentang perjalanan program mereka.

“Daripada situlah kita akan dapat bantu untuk olah mana-mana perkara yang tidak bersesuaian untuk memastikan perjalanan program itu dapat dijayakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ay Ling berkata, kerajaan negeri perlu lebih bertimbang rasa dalam aspek hiburan di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan masyarakat.

“Beberapa penganjur menyuarakan keluhan kepada saya bahawa mereka terpaksa berdepan pelbagai kerenah birokrasi dan disebabkan itu saya berharap agar perkara ini dapat diberi kelonggaran oleh kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya