Kerajaan bayar semula secara tunai perbezaan harga diesel bagi pemohon SKDS 2.0

Kerajaan bayar semula secara tunai perbezaan harga diesel bagi pemohon SKDS 2.0

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membayar semula secara tunai perbezaan harga diesel sejak pelaksaan penyasaran subsidi bahan api itu daripada mereka yang memohon dalam kalangan pemanfaat Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bermula 1 Julai ini.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kemudahan ini terbuka hanya kepada pemilik kenderaan logistik berkelayakan yang sudah diluluskan permohonan mereka di bawah SKDS 2.0 tetapi masih belum mendapat fleet card.

Beliau berkata, penuntut akan diberi bayaran semula secara tunai untuk menampung perbezaan antara harga runcit diesel mutakhir iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter, bagi diesel yang digunakan sejak 10 Jun lalu dengan had liter bulanan seperti ditetapkan.

“Mekanisme pembayaran semula ini bertujuan untuk membantu perniagaan logistik berkelayakan sejajar dengan mekanisme penyasaran subsidi diesel.

“Ia sekali gus dapat mengurangkan risiko kenaikan harga kepada barangan keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amir Hamzah berkata, terma dan syarat bagi mekanisme pembayaran semula interim ini ialah pemilik kenderaan logistik berkelayakan mesti memastikan sudah menerima kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ia bagi permohonan di bawah SKDS 2.0 sebelum atau pada 30 Jun lalu, tetapi masih belum menerima fleet card.

Selain itu ialah permohonan fleet card perlu dihantar kepada syarikat pengendali stesen minyak terlibat sebelum 15 Julai depan dan tuntutan akan diterima bermula 1 Julai ini.

Pada masa sama, penuntut mesti tertakluk kepada had liter tuntutan minyak diesel bagi setiap tuntutan, dengan setiap tuntutan hanya untuk perbelanjaan sebulan.

“Resit asal pembelian diesel hendaklah disimpan bagi tujuan audit.

“Kementerian Kewangan akan menyalurkan pembayaran semula tunai dalam 15 hari bekerja bagi setiap tuntutan yang diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon bermula 10 Jun lalu sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

“Skim subsidi diesel bersasar ini bertujuan menangani ketirisan seterusnya memastikan bantuan yang diberikan dapat dimanfaatkan oleh golongan memerlukan.

“Langkah ini akan memperkasakan lagi pengurusan serta kecekapan kewangan awam dalam usaha untuk meningkatkan kemakmuran negara seperti diilhamkan dalam kerangka Ekonomi Masani,” katanya.

Beliau turut mengulangi bahawa kerajaan kekal tekad dalam memastikan golongan yang layak akan mendapat manfaat bantuan yang disediakan kerajaan.

Pihak berkelayakan boleh memohon untuk mendapat pembayaran tunai ini melalui portal BUDI MADANI di https://budimadani.gov.my.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya