SEPANG: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menolak dakwaan kononnya veteran parti DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dikatakan berusaha ‘membina semula penduduk Cina’ ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa buat kali pertama pada 2018.
Dakwaan berkenaan dikeluarkan bekas pembantu Datuk Seri Najib Razak, Romen Bose dalam bukunya Shattered Hopes.
Loke ketika ditemui hari ini menafikan dakwaan oleh Bose itu dan menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘sampah’.
“Satu-satunya respons saya untuk itu ialah ‘sampah’,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran perkhidmatan pemindahan terminal swasta baharu, Batik Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Buku tersebut memperincikan beberapa perkembangan selepas PH menjadi kerajaan dimana Bose mendakwa, Cawangan Khas Bukit Aman dikatakan memantau beberapa pemimpin DAP, termasuk Kit Siang yang mendakwa berminat untuk ‘membina semula penduduk Cina’.
Jelas Bose lagi, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Hamid Bador sering melawat pejabat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk ‘mengemas kini’ beliau mengenai aktiviti rakan pemimpin PH. – UTUSAN